Pages

Tuesday 10 December 2013

Lagi Bukti Mengapa Memahami Al-Quran Itu Amatlah Penting

Kisah ini amat menakjubkan. Ia sebuah pengakuan seorang saudara baru kita (seorang penganut Kristian sebelum ini) menceritakan bagaimana beliau mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T untuk memeluk Islam bermula dengan membaca terjemahan Al-Quran. Apakah kita masih tidak mahu memahami Al-Quran? Subhanallah.

Cerita saudara Hamza Isa Jennings ini membuktikan beberapa perkara kepada saya iaitu:
  1. Memahami Al-Quran itu penting. Apabila kita faham, barulah kita mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T.
  2. Saya pernah diberitahu, sekiranya kita ingin mendapat petunjuk dari Allah, apa yang kita buat ialah ambil Al-Quran (yang ada terjemahannya sekiranya kita tidak faham bahasa Arab), buka ia secara rambang. Muka surat yang pertama anda buka itu, cuba baca ayatnya. Disitu, anda akan dapat petunjuk dari Allah tentang apa yang harus anda lakukan atau petunjuk bagi anda tentang keadaan semasa anda sekiranya anda mempunyai masaalah ketika itu. Ada jawapan disitu. Saya pernah mencuba beberapa kali, Alhamdulillah, persoalan yang bermain di fikiran saya dijawab Allah melalui Al-QuranNya. Subhanallah.
  3. Jangan tinggalkan Al-Quran. Baca, fahami dan beramallah dengan ia, baik ketika kita susah atau sakit, mahu pun ketika kita senang atau sihat. In shaa Allah, kita tidak akan sesat atau tersimpang dari jalan Allah. Aamiin.
Saudara Hamza Isa Jennings menceritakan kisah beliau ini di fan page Facebook Convert to Islam. Saya mengambil cerita beliau dan menterjemahkannya dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ikuti kisah beliau dibawah:
 



Saya dilahirkan di dalam sebuah keluarga Roman Katolik dan bersekolah di dua buah sekolah rendah biara (convent) dan sebuah sekolah menengah Katolik Rom yang semuanya dikendalikan oleh pihak pengurusan gereja. Biarawati dan paderi-paderi yang mengajar kami (kebanyakannya berbangsa Ireland), merupakan orang-orang yang sangat baik, taat dan ikhlas. Saya, sudah tentu, tidak pernah meragui doktrin-doktrin yang telah diperkenalkan kepada saya sepanjang tahun tersebut (semasa zaman persekolahan tersebut).

Saya percaya kepada Tuhan, iaitu konsep yang bagi saya amat munasabah. Bagaimanapun ketika memasuki alam remaja, terutamanya ketika dalam tempoh selepas saya meninggalkan sekolah, saya mula berasa ragu-ragu (tidak tetap fikiran) dengan konsep Trinity. Disebabkan saya tidak dapat memahaminya dan pula, tiada siapa yang dapat menjelaskannya dengan sempurna walaupun sudah bertanya, saya berhenti daripada menghadiri perhimpunan di gereja dan mula tersasar.

Lama kelamaan saya tidak lagi mengingati Tuhan dalam kehidupan saya, saya sibuk dengan perkara-perkara keduniaan semata-mata. Ketika itu, saya ada juga bertanya kepada diri saya sendiri apakah saya masih percaya kepada Tuhan. Saya tahu dan yakin saya masih percaya. Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk menyembahnya.

Saya mula mencari ketenangan atas kekusutan fikiran saya yang mana sudah dikaburi dengan minuman keras dan dadah. Saat saya mendapat ketenangan menjadi detik-detik kegembiraan saya kerana ia membolehkan saya untuk benar-benar berfikir, melihat dan menyelidiki soalan-soalan peribadi yang penting dan bermakna.

Saya mula mengkaji berbagai agama yang berbeza untuk mendapatkan jawapan; saya bermula dengan agama Kristian kerana ia adalah sangat biasa bagi saya tetapi masih masalah lama yang sama iaitu tentang Trinity muncul semula ... Kenapa Tuhan yang mempunyai semua kasih sayang dan berkuasa, tidak memberi kemaafan (pengampunan), mengapa Dia perlu darah, kenapa perlu membunuh anaknya dan kepada siapa tebusan misteri ini perlu dibayar, kepada syaitan? Adakah syaitan sama dengan Tuhan, pasti tidak? Kerana tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan-soalan saya, saya membuat kesimpulan bahawa agama Kristian adalah tidak betul.

Agama Buddha menarik minat saya, sebagai pemerhati yang pasif ia kelihatan begitu rohani, saya tertarik dengan keamanan dan ketenangan yang saya nampak pada penganutnya. Dan apabila saya terserempak dengan seorang penganutnya (pendakwah agama Buddha) pada satu petang (saya tidak tahu mereka betul-betul wujud) beliau memberi sebuah buku kepada saya yang mana saya berbesar hati dan gembira untuk membacanya.

Namun demikian, saya berasa kecewa kerana mendapati ia adalah agama tanpa Tuhan. Ia percaya dan mengajak kepada doktrin (atau kepercayaan) penjelmaan semula. Oleh itu, saya benar-benar menolaknya. Walaupun saya kagum dengan kerohanian penganut agama Buddha yang saya temui itu di mana beliau menunjukkan kawalan diri yang menakjubkan seperti yang saya pernah lihat di TV, saya tidak percaya kepada agama yang tanpa Tuhan.

Ketika itu, saya benar-benar menolak Islam sebagai salah satu agama pilihan. Tidak mungkin. Saya fikir mereka (umat Islam) semua mundur, wanita mereka kelihatan seperti ditindas dan dari apa yang saya lihat di dalam berita dan media lain, orang-orang lelaki Islam nampak mementingkan diri sendiri (tidak ambil peduli), ganas dan benar-benar tidak munasabah. Tidak mungkin, terima kasih.

Jadi amatlah terkejut dan gerun saya apabila pada suatu hari ketika saya memasuki pejabat baru untuk mengemaskini dan menyelesaikan beberapa kerja saya, apabila saya mendongak dan melihat ke atas, saya terpandang seorang lelaki Islam yang berketinggian lebih kurang 6 kaki dengan janggut besar hitam juga sedang mengemas dan membuat kerja-kerja di pejabat yang sama. Ia seolah-olah seperti kami bakal menjadi jiran sepejabat. Saya berkata kepada diri saya sendiri, saya tidak mahu bercakap dengan beliau. Hanya selepas beberapa minggu kemudian dan selepas beberapa kali berbual tentang urusan-urusan kerja di pejabat, barulah saya mula suka dengan kawan baru saya ini.

Suatu hari dalam perjalanan pulang ke rumah dengan rakan sekerja baru saya ini, dia memainkan kaset ceramah agama. Orang yang berucap (penceramah) di dalam ceramah tersebut begitu bersemangat menyebut nama Jesus (Nabi Isa). Telinga saya tiba-tiba seperti tersentak, kemudian beliau menyebut anti Kristus (anti-christ / dajjal). Saya terfikir dan tertanya, saya tahu watak-watak ini, apa yang lelaki Islam ini (rakan sepejabat) buat dengan pita rakaman mengenai Isa? Saya betul-betul keliru, apa yang umat Islam tahu mengenai Jesus (Nabi Isa)? Rakan saya menjelaskan kedudukan tertinggi para Rasul-Rasul Allah sementara itu saya tetap menolak percubaan beliau untuk meyakinkan saya tentang Islam. Lama kelamaan saya berlembut dan saya mula bertanya soalan.

Apabila dia memberikan saya satu terjemahan Al-Quran saya berjanji kepadanya bahawa saya akan membacanya dengan fikiran yang terbuka. Sebelum saya membuka Al-Quran tersebut saya berfikir: “Jika ini benar (betul), saya perlukan jawapan. Pada ketika itu juga fikiran saya terlintas tentang Jesus (Nabi Isa). Saya buka buku (Al-Quran) tersebut secara rawak dan membaca ayat..

“Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu).” Surah 5 (Al-Maidah), ayat 75.

Ayat ini mengejutkan saya, saya terus membaca dan lebih banyak saya baca, lebih saya menjadi kagum. Ia adalah kuasa, kuasa kata-kata (ayat-ayat) dan saya berfikir, siapakah yang menulis seperti ini kalau bukan dari Tuhan? Saya menyedari bahawa saya telah membaca kata-kata dari Tuhan (dari Allah S.W.T). Dengan pengetahuan tersebut, segala-galanya berubah.

Soalan-soalan yang berada di fikiran saya terus terjawab apabila saya, secara rawak, terus membaca ayat-ayat Al-Quran tersebut. Dalam masa yang sama, mesej-mesej dari ayat-ayat itu menyentuh hati saya sehingga ke tahap jantung saya berdebar-debar laju. Saya dapat merasakan perasaan saya terus teruja; ia adalah seperti campuran keseronokan, kagum, pengetahuan tertinggi ... kebenaran.

Semasa saya terus membaca, perasaan teruja ini terus terbina dan berkembang sehingga saya tidak dapat bertahan lagi dan menjerit kegembiraan. Rambut saya berdiri tegak sambil saya melompat-lompat di atas katil keseronokan. Saya mengigil, terasa kepenatan, kagum dan fikiran saya berlegar-legar dengan pelbagai imej dan pemikiran. Saya telah menemuinya (kebenaran), woaa, saya telah menemuinya, saya telah menemuinya.

Tetapi apa yang perlu saya lakukan sekarang? Bagaimana cara saya boleh menjadi Islam dengan serta merta? Saya mungkin menjadi gila kerana jika saya (memeluk Islam sekarang), saya akan kehilangan segala-galanya. Saya tidak ragu-ragu sama sekali, ayah saya sudah tentu akan mengecam saya dengan pelbagai ancaman. Itu menakutkan saya.

Rakan Muslim saya menenangkan saya dan bercakap tentang Nabi Muhammad (S.A.W) dan para sahabat. Saya cuba untuk meyakinkan rakan-rakan saya dan keluarga tetapi semakin saya terangkan lebih banyak kepada mereka, semakin kuat mereka menolaknya .. Saya berdoa dan berharap kepada Allah agar membimbing keluarga dan rakan-rakan saya. Saya juga berharap dan meminta agar Allah (memberi) saya, hanya satu sahaja, hanya satu sahaja daripada rakan-rakan saya (agar diberi petunjuk) kerana saya amat memerlukan seseorang (untuk memberi sokongan).

Ada seorang rakan, beliau sentiasa menghormati orang lain, tidak pernah menghina dan beliau terkenal sebagai seorang yang sangat seimbang dalam pandangannya. Saya bertemu dengan beliau dan mula bercakap tentang Islam. Saya telah memberikan kepadanya dua buah buku, terjemahan Al-Quran dan Nabi Isa dalam Islam, yang ditulis oleh Ahmed Thompson. Dia memandang saya dan berkata, "Saya seorang Kristian dan saya akan mati sebagai seorang Kristian, tetapi saya akan membaca buku-buku anda." Saya berpuas hati dengan jawapan beliau itu, ianya lebih baik berbanding daripada (rakan-rakan) yang lain. Saya katakan kepada beliau bahawa saya tidak mahu berjumpa beliau selama dua minggu supaya beliau pergi dan membaca buku-buku tersebut dengan minda yang terbuka.

Dua minggu kemudian, saya terserempak dengan dia di jalanan, matanya seperti mahu tersembul keluar apabila dia melihat saya, dia kelihatan sangat teruja, dan berkata "Yennings, anda betul, anda betul ...". Saya menjawab, "Apa yang kamu maksudkan? " walaupun saya tahu perkara apa yang dia rujuk tetapi saya mahu mendengar dia mengatakannya sendiri. "Anda betul, anda betul selama ini... Islam adalah benar!" Dengan berlinangan air mata, kami ketawa dengan kegembiraan.

Saya masih tidak memeluk Islam ketika itu dan pada satu malam saya bermimpi;
Ia adalah Hari Kiamat, saya dikelilingi oleh beribu-ribu orang dan setiap seorang daripda mereka berada dalam ketakutan, mereka semua menjerit dan kami semua diarah ke satu tempat, ke tempat di mana pengadilan muktamad akan dibuat. Saya menyedari betapa seriusnya keadaan tersebut dan mula panik. Apabila saya melihat sekeliling, saya tidak dapat melihat mana-mana pun umat Islam, semua yang saya nampak adalah orang-orang bukan Islam yang kelihatan berputus asa.

Saya melompat naik ke atas bahu beberapa orang dan mula mencari orang-orang Islam, saya mula menjerit "Saya mahu bersama dengan orang-orang Islam, di mana orang-orang Islam?" Tetapi semua yang saya nampak, dari kaki langit ke kaki langit, adalah aliran orang ditolak kedalam satu arah. Saya mula bergerak kearah yang bertentangan. Saya dilanggar, ditendang dan ditolak ketika saya cuba sedaya upaya untuk melepasi mereka. Saya menangis tanpa kawalan kerana saya tahu saya telah meninggal dunia dan saya tahu saya telah dibangkitkan dengan orang bukan Islam. Ia adalah Hari Kiamat dan tidak ada jalan kembali ... saya menangis tanpa kawalan dan kemudian ... saya terjaga. (Saya berkata kepada diri saya sendiri) sudah tidak ada alasan lagi.

Pada satu Jumaat, akhirnya kami bersetuju untuk pergi ke Masjid Birmingham Centre untuk memeluk Islam. Kami bertemu dengan rakan Islam saya dan dia membawa kami kepada Imam. Dengan diperhatikan (disaksikan) oleh beberapa saudara Islam yang lain, kami duduk dan mengulangi apa yang Imam ucapkan. Kami berdua, bersama-sama, mengisytiharkan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya. Saya kini seorang Islam dan saya amat gembira. Ia mengambil masa untuk ahli-ahli keluarga saya untuk menerima penukaran saya tetapi Alhamdullilah saya lebih berbahgia berbanding sebelum ini.

Hamza Isa Jennings

(cerita asal disini versi bahasa Inggeris disini Convert to Islam – Hamza Isa Jennings)

Antara ayat-ayat yang diterangkan Allah ketika hari Kiamat...perhatikan saudara Hamza bermimpi melihat perkara yang sama. Subhanallah.
1. Surah Al-Mursalat (77), ayat 35-38
2. Surah Al-Qiyama (75), ayat 24
(nota - banyak ayat-ayat lain yang menerangkan tentang Hari Kiamat. Saya hanya pilih 2 sebagai contoh).

Surah Al-Mursalat Ayat 35-38



Surah Al-Qiyama ayat 24-26





Tuesday 3 December 2013

Peta Hidup Dan Destinasi Terakhir Kita - ringkas dan padat sebagai ingatan untuk kita.

Kenapa kita dijadikan?
  1. Surah 51 (Adh-Dhariyat), Ayat 56 "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
  2. Surah 2 (Al-Baqarah), cebisan Ayat 30 - "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"......"
Panduan yang diberikan:
  1. "....Al-Quran ini ialah panduan-panduan dari Tuhan kamu (Allah), dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang yang beriman." - cebisan ayat 203 Surah Al-A'raf
  2. Rasullullah S.A.W juga berpesan kita merujuk Al-Quran dan sunnah-sunnah beliau semasa khutbah terakhirnya. Antara pesanan Rasulullah S.A.W didalam khutbah terakhir ketika Haji Wada' (haji terakhir sebelum beliau wafat) - petikan khutbah beliau: "...Maka perhatikanlah apa yang kukatakan ini, wahai manusia sesungguhnya aku telah sampaikan. Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu berpegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah NabiNya...."
Tujuan dan matlamatnya - Menuju ke alam akhirat dengan berjaya
  1. Surah Al-Baqarah, Ayat 4 "Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
  2. Surah Al-Baqarah, Ayat 5 "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya"
Apakah kejayaan yang dicari itu?
  1. Surah 9 (At-Taubah), Ayat 88: "Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya."
  2. Surah 9 (At-Taubah), Ayat 89: "Allah telah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah kemenangan yang besar."

Oleh itu, jom "Baca Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah