Pages

Saturday 24 August 2013

Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya


Dakwah saya sangatlah mudah. Saya ingin mengajak muslimin muslimat sekalian, sekiranya kita tidak faham atau fasih berbahasa Arab, apabila mengaji Al-Quran, bacalah dengan terjemahannya sekali. Saya mengamalkannya setiap kali saya mengaji dan saya dapati faedah, kebaikan dan manafaat apabila saya faham ayat-ayat tersebut amatlah besar. Kerana itu saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan anda sekalian.

Dibawah ini saya senaraikan kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali. Anda boleh komen atau beri pendapat dan pandangan anda sekiranya apa yang saya senaraikan ini tidak betul atau anda punya pandangan yang berbeza.

Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya:  

1. Menyahut atau menurut perintah Allah S.W.T yang menghendaki kita memahami Al-Quran.

Dalam Surah Al-Anbiya ayat 10, terjemahannya "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kepada kamu sebuah kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)". Bukankah sebagai seorang muslim sejati, kita perlu menurut perintah Allah? Oleh itu, fahamilah Al-Quran itu seperti yang disuruh Allah S.W.T. Kalau kita tidak faham ayat-ayat Al-Quran itu, carilah terjemahannya.

2. Mengelak dari kesesatan

Tidak dinafikan di masa sekarang, terlalu banyak fahaman-fahaman yang berbeza didalam Islam itu sendiri. Ramai ulamak-ulamak, ustaz-ustaz dan juga individu-individu yang berbeza pendapat tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang, kita sendiri keliru yang mana satu yang betul. Sebagai contoh, syiah, sunni, wahabi, cara bersolat, sunat atau wajib dan berbagai lagi.

Rasulullah (Nabi Muhammad) S.A.W telah berpesan dalam khutbah terakhirnya menyuruh kita merujuk Al-Quran dan sunnah-sunnah beliau. Pesan Rasulullah S.A.W didalam khutbah terakhir ketika Haji Wada' (haji terakhir sebelum beliau wafat) - petikan khutbah beliau: "...Maka perhatikanlah apa yang kukatakan ini, wahai manusia sesungguhnya aku telah sampaikan. Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu berpegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah NabiNya...."

Kalau kita tidak faham Al-Quran bagaimana kita boleh mengelak kesesatan? Bagaimana kita hendak tahu apabila ada topik atau perkara yang dibincangkan, kata-kata penyampainya itu betul atau salah atau anda bersetuju atau tidak setuju. Jawapannya, anda perlulah tahu isi kandungan Al-Quran itu. Apabila anda tahu apa yang Allah dan para Rasul-Nya pesan, anda boleh menilai sendiri sesuatu perkara.

3. Menambah ilmu

Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ilmu-ilmu yang Allah sampaikan. Kalau kita tidak faham ayat-ayat tersebut, bagaimana kita hendak tahu ilmu tersebut. Seorang rakan pernah bagi perumpamaan. Apabila seseorang itu pandai mengaji tetapi tidak faham maknanya, ia umpama kita menyanyi lagu asing contoh lagu Hindustan tapi tidak tahu makna lirik yang kita nyanyikan.

Saya amat bersetuju dengan perumpamaan ini kerana sebelum ini, saya juga hanya mengaji tetapi tidak faham maksud ayat-ayat tersebut. Setelah saya baca terjemahannya, barulah minda dan hati saya terbuka dan sedar betapa besarnya ilmu yang Allah turunkan dalam Al-Quran itu. Terasa rugi kalau kita tidak faham.

4. Mendapat ketenangan dan berasa aman

Apabila anda faham isi Al-Quran itu, anda akan faham kenapa dan mengapa sesuatu perkara itu berlaku, kenapa anda diminta menunaikan solat, membayar zakat, berpuasa dan sebagainya. Anda juga akan dapat pengajaran kenapa dan mengapa Allah menyuruh kita menyembah Beliau, bukan benda-benda yang lain.

Setelah faham, anda akan berasa aman dan tenteram. Hendak mengerjakan ibadat pun anda akan berasa mudah. Semuanya kerana Allah S.W.T. Untuk mendapat ini, perlulah anda membaca dan memahami Al-Quran dahulu.

5. Mendapat pahala kebaikan di akhirat kelak

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim). Ini antara hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan kebaikan membaca Al-Quran. Ada banyak lagi yang anda boleh rujuk (*).


Kesimpulannya, fahamilah Al-Quran itu, bukan sekadar mengaji sahaja tanpa faham maksud-maksud ayat di dalamnya. Semoga kita diberkati dan diredhai Allah S.W.T. Amin.





Rujukan lain (*):
http://nurpasti.blogspot.com/2011/09/15-kebaikan-membaca-dan-mengamalkan-al.html




2 comments:

  1. Beruntunglah mereka yang pelajari Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan menjadi syafaat dan teman mereka di akhirat nanti.

    ReplyDelete
  2. Saya sedang istikomah mengamlkannya

    ReplyDelete