Pages

Tuesday, 17 September 2013

Dalam Al-Quran Ada Jawapan Pada Semua Permasalahan


Berikut ialah soalan-soalan lazim yang banyak bermain difikiran dan hati kita, baik ketika diuji dengan kesusahan atau kesenangan. Apakah jawapan yang diberikan Allah S.W.T di dalam kitab Al-QuranNya? (petikan dan diterjemah dari FB Fan Page Dr. Zakir Naik)

Soalan 1
Kenapa saya sentiasa diuji? Mengapa kehidupan begitu sukar? Kenapa saya tidak pernah mendapat ini atau itu? Mengapa? Mengapa? Saya sentiasa bertanya: Kenapa saya diuji?

Quran menjawab : "Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ' Kami percaya (beriman) dan mereka tidak diuji? Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti akan mengetahui orang-orang yang benar dari orang-orang yang berdusta. "Surah 29 Al-Ankabut, Ayat 2-3

Soalan 2
Saya sentiasa bertanya: Mengapa saya tidak boleh mendapatkan apa yang saya mahu?

Quran menjawab : ".......Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."Surah Al -Baqarah [ 2:216 ]

Soalan 3
Saya sentiasa bertanya: Mengapa saya dibebani dengan cara ini?

Quran menjawab : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya..........."Surah Al -Baqarah [ 2:286 ] dan;

"Jadi sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan :. (Berulang) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. "Surah Al- Insyirah [ 94:5-6 ]

Soalan 4
Saya sentiasa bertanya: Kenapa saya berputus asa?

Quran menjawab : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. " Surah Al- Imran [ 3:139 ]

Soalan 5
Saya sentiasa bertanya: Bagaimana saya boleh menghadapinya?

Quran menjawab : "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung." Surah Al- Imran [ 3:200 ] dan;

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan bersabar dan mengerjakan solat (sembahyang); dan sesungguhnya solat itu (sembahyang itu) amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"Surah Al -Baqarah [ 2:45 ]

Soalan 6
Saya sentiasa bertanya: Apa yang saya dapat untuk semua ini?

Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka...." Surah At-Taubah [ 9:111 ]

Soalan 7
Saya sentiasa bertanya: Kepada siapa saya boleh bergantung?

Quran menjawab : "......Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung." Surah At- Taaubah [ 9:129 ]

Soalan 8
Saya selalu berkata: Tetapi saya tidak boleh tahan lagi!

Jawapan Al-Quran: ".....dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." Surah Yusuf [ 12:87 ] dan;

"...Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Surah Az -Zumar [ 39:53 ]


Dipetik dari Fan Page Dr. Zakir Naik
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=508769292538725set=a.150461375036187.38222.146251375457187&type=1&theater

Bacalah Al-Quran dengan terjemahannya sekali. In shaa Allah, kita akan mendapat banyak faedah.


Sunday, 15 September 2013

Mula Mula Benci, Bila Dah Tahu, Jatuh Cinta - Inilah Hikmah Apabila Memahami Al-Quran

Al-Quran itu ialah untuk semua manusia, baik yang Islam ataupun bukan Islam. Allah memberi panduan, petunjuk dan hidayah kepada kita semua melaluinya. Kerana itu kita sebagai umat Islam terutamanya, disarankan membaca Al-Quran termasuk memahami ayat-ayatnya. Kalau tidak paham bahasa Arab, bacalah dengan terjemahannya.

Kisah yang saya ingin paparkan disini ini menarik kerana saudara baru kita ini (memeluk Islam 4 tahun lepas, 2011) seorang bekas askar "marine" Amerika. Kisah beliau dikongsi dilaman FB page Convert to Islam.

Pada mulanya, beliau amat membenci Islam kerana menganggap Islam agama yang jahat dan tidak masuk akal (non sense). Selepas mengkaji dan membaca Al-Quran beserta terjemahan & tafsirannya, hati beliau terbuka. Dengan hidayah dan petunjuk Allah, beliau membuat keputusan memeluk Islam.

Kesimpulannya, bacalah Al Quran itu dengan terjemahannya. Kalau yang bukan Islam boleh mendapat manafaat setelah membacanya, kenapa kita (orang Islam) tidak mahu memahaminya. Didalam Al-Quran itu banyak manafaatnya. Teramat rugi kalau kita tidak memahami ayat-ayat Al-Quran itu walaupun kita pandai mengaji dan telah khatam banyak kali. In syaa Allah.

Dibawah ialah terjemahan kisah beliau. Kisah asal beliau yang diceritakan didalam bahasa Inggeris boleh dibaca disini.

"Ya, saya seorang Muslim. Kenapa? Saya seorang rakyat Amerika dan bekas tentera marin. Secara jujurnya, dahulu saya sebagai orang biasa Amerika amat membenci dan takut kepada Islam. Saya menghina Islam dan fikir ia jahat termasuk perkara-perkara yang bagi saya tidak masuk akal.

Saya mengkaji banyak agama-agama lain, cuba mencari sedikit ketenangan dan "kebenaran", cuba mencari "Tuhan", itupun sekiranya Dia wujud. Ketika itu saya ragu-ragu akan kewujudanNya. Akhirnya saya membuat keputusan untuk meneliti (mengkaji) tentang Islam. Namun, pada mula tujuannya bukanlah untuk mencari "Tuhan". Saya amat ingin tahu apakah agama "jahat" ini yang mana negara saya sedang berperang dengannya. Saya ingin tahu "musuh" saya.

Oleh itu, saya membuat kajian, mengambil senaskah Al-Quran yang mengandungi nota dan ulasan (terjemahan & tafsiran) dan mula membacanya. Dalam beberapa hari, saya nampak banyak kebenaran dan kredibiliti (boleh dipercayai) di dalam pesanan-pesanannya dan sejarahnya berbanding dengan fahaman-fahaman (agama-agama) lain yang telah saya kaji sebelum ini.

Pesanan-pesanan di dalam Al-Quran itu boleh dipercayai dan bersangkut-paut dengan diri saya. Pada saya, ia amat masuk akal. Bukan itu sahaja, saya tiba-tiba yakin dengan kewujudan Tuhan. Itu ialah kisah 4 tahun yang lepas. Semasa dalam 4 tahun tersebut, saya betul-betul telah berubah.

Sebelum ini saya sangat jahil, sombong, penuh dengan kebencian dan berputus asa terhadap kehidupan di dunia ini. Islam ialah satu-satunya perkara dalam seluruh kehidupan saya yang telah memberi inspirasi kepada saya, mengajak kepada menyayangi orang-orang lain dan mengajak kita menjadi seorang yang lebih baik.

Ia juga adalah satu-satunya perkara yang telah memberi saya harapan dan menjadikan dunia yang gila ini waras. Pada ketika dahulu, saya nampak kekecohan dan trajedi, sekarang saya nampak sebab dan tujuan kita dalam kehidupan ini walaupun kadang-kadang saya tidak memahaminya.

Malah kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga saya mengatakan bahawa saya sudah berubah berbanding dahulu, iaitu menjadi lebih baik. Kalaulah bukan kerana Islam, saya mungkin sudah mati, sama ada dari fizikal atau pun rohani dan emosi, sama seperti ketika sebelum saya secara "tidak sengaja" bertembung dengan Islam. Alhamdulillah" - Jarod Smith



P/S - Amalkan membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali, banyak manafaatnya. In Syaa Allah.


Thursday, 5 September 2013

Apakah Perbezaan Antara "Terjemahan" dan "Tafsir" Al-Quran?

Topik ini mulanya saya pun dulu ada keliru juga. Selepas dengar penerangan dan membaca, barulah saya faham.

Terjemahan ialah dimana ayat-ayat Al-Quran itu diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa ibunda seseorang. Contoh bahasa Arab ke bahasa Melayu atau bahasa Arab ke bahasa Inggeris / English.

Tafsir pula ialah penerangan atau ulasan kepada ayat-ayat tersebut supaya pembacanya lebih memahami atau mengetahui cerita disebalik surah berkenaan.

Pandangan / Penerangan lain:
"Terjemahan tu hanya translate apa dalam Qur'an ke dalam bahasa Melayu or English. Tapi tafsir tu lebih luas, ianya menerangkan apa yang dimaksudkan oleh ayat tu" - diambil dari forum pembaca.

"Tafsir tu lebih kepada penerangan untuk memberi kefahaman, manakala terjemahan adalah secara mudahnya alih bahasa."- diambil dari forum pembaca.

Yang manakah lebih baik?
Jawapannya terpulang pada seseorang. Sekiranya kita tidak fasih berbahasa Arab, tidak tahu makna-makna ayat-ayat tersebut, maka lebih baik baca terjemahan dahulu. Sekiranya kita sudah faham dan ingin menambah ilmu dengan lebih mendalam, belajar dan bacalah tafsir. Sesetengah Al-Quran yang dijual dipasaran ada juga menyediakan kedua-dua sekali, terjemahan dan tafsirannya. Mana-mana pun, bagi saya, kedua-duanya baik, lebih baik berbanding tidak faham langsung ayat-ayat Al-Quran itu, sekadar mengaji sahaja (Wallahuallam).

Peringatan
Cuma, kita perlu berhati-hati ketika ingin membaca tafsir kerana tafsiran selalunya adalah ulasan-ulasan yang dibuat oleh individu seperti ustaz-ustaz atau ulamak-ulamak. Disinilah yang selalunya menyebabkan timbul perbezaan kerana antara para penafsir ini, ada yang berbeza pendapat atau pemahaman tentang sesuatu ayat atau surah. Boleh rujuk dalam forum yang sama tentang perbezaan ini - dari forum pembaca.

Kesimpulannya - mengajilah dengan memahami terjemahan ayat-ayat tersebut dahulu. Apabila asas kita sudah kuat, barulah kita tambah ilmu dengan mencari tafsiran. Tetapi, tidak salah juga nak terus baca dan belajar tafsirannya juga. Wallahuallam.

Yang penting, apabila mengaji Al-Quran, fahamilah kandungannya, itu lebih baik berbanding mengaji sahaja tanpa memahami ayat-ayat tersebut.




Monday, 26 August 2013

Fakta Tentang Kitab Suci Al-Quran

“Al-Quran adalah satu-satunya tulisan suci (Kitab Suci) agama yang telah berada dalam edaran untuk sekian lama dan lagi kekal sebagai tulen seperti pada permulaannya. Al-Quran telah disimpan utuh. Tiada apa-apa telah ditambah kepadanya, tiada apa yang telah diambil darinya sejak lengkapnya wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W 1400 ratus tahun lalu” – Dr. Zakir Naik

Kerana sesungguhnya Allah S.W.T melindungi Al-Quran itu seperti yang disebut dalam salah satu ayat di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 27 (terjemahannya):

“Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu (iaitu Al-Quran); tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.”

Surah Al-Kahfi, Ayat 27

Marilah mengaji Al-Quran dan baca sekali terjemahannya supaya kita mendapat berkat, hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T. In shaa Allah. Amin.









Saturday, 24 August 2013

Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya


Dakwah saya sangatlah mudah. Saya ingin mengajak muslimin muslimat sekalian, sekiranya kita tidak faham atau fasih berbahasa Arab, apabila mengaji Al-Quran, bacalah dengan terjemahannya sekali. Saya mengamalkannya setiap kali saya mengaji dan saya dapati faedah, kebaikan dan manafaat apabila saya faham ayat-ayat tersebut amatlah besar. Kerana itu saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan anda sekalian.

Dibawah ini saya senaraikan kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali. Anda boleh komen atau beri pendapat dan pandangan anda sekiranya apa yang saya senaraikan ini tidak betul atau anda punya pandangan yang berbeza.

Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya:  

1. Menyahut atau menurut perintah Allah S.W.T yang menghendaki kita memahami Al-Quran.

Dalam Surah Al-Anbiya ayat 10, terjemahannya "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kepada kamu sebuah kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)". Bukankah sebagai seorang muslim sejati, kita perlu menurut perintah Allah? Oleh itu, fahamilah Al-Quran itu seperti yang disuruh Allah S.W.T. Kalau kita tidak faham ayat-ayat Al-Quran itu, carilah terjemahannya.

2. Mengelak dari kesesatan

Tidak dinafikan di masa sekarang, terlalu banyak fahaman-fahaman yang berbeza didalam Islam itu sendiri. Ramai ulamak-ulamak, ustaz-ustaz dan juga individu-individu yang berbeza pendapat tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang, kita sendiri keliru yang mana satu yang betul. Sebagai contoh, syiah, sunni, wahabi, cara bersolat, sunat atau wajib dan berbagai lagi.

Rasulullah (Nabi Muhammad) S.A.W telah berpesan dalam khutbah terakhirnya menyuruh kita merujuk Al-Quran dan sunnah-sunnah beliau. Pesan Rasulullah S.A.W didalam khutbah terakhir ketika Haji Wada' (haji terakhir sebelum beliau wafat) - petikan khutbah beliau: "...Maka perhatikanlah apa yang kukatakan ini, wahai manusia sesungguhnya aku telah sampaikan. Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu berpegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah NabiNya...."

Kalau kita tidak faham Al-Quran bagaimana kita boleh mengelak kesesatan? Bagaimana kita hendak tahu apabila ada topik atau perkara yang dibincangkan, kata-kata penyampainya itu betul atau salah atau anda bersetuju atau tidak setuju. Jawapannya, anda perlulah tahu isi kandungan Al-Quran itu. Apabila anda tahu apa yang Allah dan para Rasul-Nya pesan, anda boleh menilai sendiri sesuatu perkara.

3. Menambah ilmu

Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ilmu-ilmu yang Allah sampaikan. Kalau kita tidak faham ayat-ayat tersebut, bagaimana kita hendak tahu ilmu tersebut. Seorang rakan pernah bagi perumpamaan. Apabila seseorang itu pandai mengaji tetapi tidak faham maknanya, ia umpama kita menyanyi lagu asing contoh lagu Hindustan tapi tidak tahu makna lirik yang kita nyanyikan.

Saya amat bersetuju dengan perumpamaan ini kerana sebelum ini, saya juga hanya mengaji tetapi tidak faham maksud ayat-ayat tersebut. Setelah saya baca terjemahannya, barulah minda dan hati saya terbuka dan sedar betapa besarnya ilmu yang Allah turunkan dalam Al-Quran itu. Terasa rugi kalau kita tidak faham.

4. Mendapat ketenangan dan berasa aman

Apabila anda faham isi Al-Quran itu, anda akan faham kenapa dan mengapa sesuatu perkara itu berlaku, kenapa anda diminta menunaikan solat, membayar zakat, berpuasa dan sebagainya. Anda juga akan dapat pengajaran kenapa dan mengapa Allah menyuruh kita menyembah Beliau, bukan benda-benda yang lain.

Setelah faham, anda akan berasa aman dan tenteram. Hendak mengerjakan ibadat pun anda akan berasa mudah. Semuanya kerana Allah S.W.T. Untuk mendapat ini, perlulah anda membaca dan memahami Al-Quran dahulu.

5. Mendapat pahala kebaikan di akhirat kelak

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim). Ini antara hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan kebaikan membaca Al-Quran. Ada banyak lagi yang anda boleh rujuk (*).


Kesimpulannya, fahamilah Al-Quran itu, bukan sekadar mengaji sahaja tanpa faham maksud-maksud ayat di dalamnya. Semoga kita diberkati dan diredhai Allah S.W.T. Amin.





Rujukan lain (*):
http://nurpasti.blogspot.com/2011/09/15-kebaikan-membaca-dan-mengamalkan-al.html




Wednesday, 21 August 2013

Mendapat Hidayah dari Al-Quran - Cerita Saudari Baru

Cerita ini menarik untuk kita berkongsi bersama. Ia diambil dari salah satu FB page (Adam & Hawa). Menariknya kerana setiap kali sesiapa sahaja mengkaji Al-Quran dan faham kandungannya, in shaa Allah, dengan izin-Nya, seseorang itu akan mendapat hidayah dan petunjuk.

Saya gemar mengikuti cerita-cerita saudara atau saudari baru Islam kita kerana saya ingin tahu bagaimana mereka mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah. Bagi saya, mereka ini istimewa kerana mereka memeluk Islam setelah terbuka hati mereka. Berbanding mereka yang lahir Islam dimana mereka telah diajar dan diasuh dari kecil. Bukan senang seseorang bukan Islam membuat keputusan untuk memeluk Islam. Kerana itu bagi saya, mereka ini istimewa.

Hasil dari cerita-cerita yang saya ikuti, kebanyakan mereka memeluk Islam setelah membaca, memahami dan mengkaji Al-Quran. Sudah tentu mereka membaca terjemahannya kerana bukan semua orang faham atau fasih berbahasa Arab. Itulah salah satu kelebihan apabila kita membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali.

Namun tidak dinafikan juga, mereka yang lahir Islam boleh berubah dari kurang arif atau alim, kepada alim. Mereka ini juga insan istimewa kerana Allah memberi mereka hidayah dan petunjuk untuk berpegang teguh atau kembali atas jalan lurus-Nya.

Saya copy paste cerita asal seorang muslimah (muallaf - saudari baru Islam kita) dari page tersebut. Berdasarkan tarikh posting, ia sekitar bulan April 2012. Tarikh betul saudari baru kita ini memeluk Islam tidak diketahui. Wallahualam. Namun, ikuti kisah menarik beliau di bawah.

Loo Jo Yee . Ada kisah menarik mengenai beliau. Mari kita kongsi cerita beliau.

"Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.
Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan.

Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.
Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah Taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah Taala dan pada waktu itu juga la beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah.

Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri."





P/S Seperti biasa, pesanan saya...jangan lupa "Apabila Mengaji Al-Quran, Bacalah Terjemahannya Sekali".



Tuesday, 20 August 2013

Benarkah Al-Quran Apple APP STORE oleh komuniti Ahmadiyyah / Qadiani salah?

Mesej 1
Isu ini pernah tersebar, mungkin bermula tahun 2011/12. Bulan lepas (July 2013) saya menerima lagi mesej ini, maknanya, ia masih lagi tersebar. Kerana ingin tahu, saya pun mengkaji serba sedikit imej-imej dan website yang dihantar melalui mesej ini.

Disertakan di sini mesej asal yang diterima dalam Bahasa Melayu. Ada versi dalam Bahasa Inggeris (link Bahasa Inggeris).


Mesej 1a
Persoalannya - Benarkah Al-Quran yang dikeluarkan oleh komuniti ini salah atau mengelirukan?

Wallahuallam tapi berikut adalah hasil kajian saya (mungkin juga tidak berapa betul, anda buatlah penilaian sendiri). Perlu dijelaskan pertama sekali, saya bukanlah ahli pada mana-mana komuniti. Niat saya, sekirannya mesej ini tidak betul, saya berharap Allah membantu saya menerangkan kepada anda. Sekiranya mesej itu betul, saya berharap Allah menerima kemaafan saya dan anda boleh beri komen dimana silapnya.

Cara saya membuat analisis adalah seperti berikut:



1. Saya tidak dapat mengdownload Applikasi Al-Quran itu dari Apple Apps Store. Jadi penerangan atau analisa saya hanya melalui imej yang disertakan dalam mesej-mesej ini.

2. Saya pengguna iQuran Pro, versi 2.3.3 android yang juga digunakan dalam imej tersebut sebagai perbandingan.

3. Saya juga membuat rujukan ke atas ayat yang sama (yang dikatakan dikelirukan) dengan Quran Per Kata (edaran Telaga Biru), Kitab Al-Quran (bahasa Arab sahaja) dan iQuran Pro Android yang saya gunakan sekarang.

4. Ketika saya merujuk kepada Apple Apps Store, saya dapati sudah ada update pada Quran dari komuniti ini. Kemungkinan besar perbandingan yang dibuat adalah dari versi 1.0 (klik link untuk ke Apple Apps Store)






Quran Apps dari Komuniti Ahmadiyya. Perhatikan ini adalah versi 2.0. Skrin shot berbeza. Mungkin yang tersebar atau yang dipapar didalam mesej adalah versi lama.












Hasil analisa saya adalah seperti berikut:

Berdasarkan imej yang disertakan dalam mesej itu, ia merujuk kepada Ayat 7 (imej kata 6) dari Surah Al-Imran (dipetik dari quran online tokeikedai.net/alquran):

هُوَ الَّذِيَ أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاء الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاء تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الألْبَابِ

Terjemahannya (dari website tokeikedai):
Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.

Terjemahannya (dari iQuran Pro 2.3.3):
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas, dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata "Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami". Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.

Analisa

  1. Apabila saya bandingkan ayat tersebut, saya dapati, ayat yang dipaparkan pada skrin Al-Quran Apple itu sama dengan ayat yang saya rujuk pada kitab-kitab lain termasuk iQuran Pro versi 2.3.3 android saya.
  2. Tetapi, apabila saya bandingkan ayat yang diambil dari skrin android itu (yang ditunjuk melalui handphone Samsung), terdapat tambahan huruf atau perkataan (3 perkataan) yang saya pun tidak tahu maknanya.
  3. Berdasarkan tulisan dibawah skrin itu, ia kata ayat tersebut diambil dari iQuran Pro Software sedangkan iQuran Pro yang saya pakai sekarang, tidak ada tambahan 3 perkataan itu. Lihat perbandingan dibawah.

Perbandingan antara iQuran Pro ver 2.3.3

Perbandingan dengan Quran Per Kata (Edaran Telaga Biru)


Perbandingan dengan Quran Tanpa Terjemahan


Kesimpulannya

Adakah benar kenyataan yang disampaikan oleh mesej yang tersebar ini yang mengatakan Al-Quran Apple Apps Store keluaran komuniti Ahmaddiyah ini salah atau mengelirukan? Terdapat satu artikel lain yang juga mempertikaikan kesahihan mesej ini, http://quraan-today.blogspot.com/2012/10/boycotting-quran-application-on-i-phone.html

Anda buatlah penilaian anda sendiri. Saya sekadar menjelaskan sahaja. Semoga Allah melindungi kita semua dari perkara-perkara yang tidak baik. Dan seperti biasa, jangan lupa...Apabila Mengaji Al-Quran, Bacalah Terjemahannya Sekali. Amin.