Pages

Tuesday, 25 March 2014

Siri petikan dari ayat-ayat terjemahan Al-Quran: Surah Al-Kahfi

Saya sudah pun memulakan siri untuk berkongsi petikan atau ayat-ayat terjemahan Al-Quran di Facebook. In shaa Allah, sasaran saya ialah untuk berkongsi sekurang-kurangnya satu ayat sehari. Oleh itu, secara tidak langsung sekiranya anda mengikuti Facebook page Jom Baca Al-Quran Dan Faham Terjemahannya kita boleh mendapat petunjuk dan peringatan dari Allah S.W.T setiap hari. In shaa Allah, selagi saya boleh usahakan, saya akan teruskan. Apabila telah habis kesemua 114 surah, in shaa Allah, saya akan ulang lagi.

Beserta dengan ayat-ayat tersebut, saya sertakan juga hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang berkaitan dengan perkara di dalam ayat tersebut. Saya juga, in shaa Allah, cuba untuk objektif atau tidak memasukkan pendapat atau ulasan-ulasan saya tentang ayat dan hadis tersebut. Ini kerana saya mahu mesej yang sampai kepada anda semua adalah langsung dari Allah S.W.T (iaitu ayat-ayat Al-QuranNya) dan RasulNya, Nabi Muhammad S.A.W. (hadis-hadis atau pesanan baginda).

Kebetulan surah pertama yang saya mulakan ialah Surah Al-Kahfi. Berikut ialah sedikit maklumat tentang Surah Al-Kahfi:

Surah Al Kahfi (سورة الكهف) adalah surat ke-18 dalam Al Qur'an. Surah ini mempunyai 110 ayat dan termasuk dalam golongan surah-surah Makkiyyah. Dinamakan Al-Kahfi (bahasa Arab:Gua) dan Ashhabul Kahfi yang membawa maksud Penghuni-Penghuni Gua. Selain itu, nama ini diambil daripada cerita yang terdapat dalam surah ini pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya. Selain daripada cerita tersebut, terdapat pula beberapa buah cerita (cerita dua orang lelaki yang seorang kafir dan yang lainnya mukmin; cerita Nabi Musa AS dengan Khidhir AS; cerita Zulkarnain dengan Ya'juj dan Ma'juj).

Di dalam surah ini mengandungi pengajaran yang amat berguna bagi kehidupan manusia. Terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan keutamaan membaca surat ini. (dipetik dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Surah_Al-Kahfi)

Antara kelebihannya ialah pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat jika dibaca pada hari Jumaat dan dijauhi fitnah al-Masih ad-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya. Antara pesanan Rasulullah S.A.W tentang Surah Al-Kahfi:

1. Abu Sa`id al-Khudri radhiAllahu `anhu beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat, maka ALLAH terangi ia dengan cahaya di antara dua Jumaat.” (HR al-Hakim dan Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani)

2. Daripada Ali yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya.” (Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

3. Daripada Abu al-Darda’ bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal.” (HR Muslim 809)

Petikan hadis and penerangan lanjut boleh dibaca disini - Surah al-Kahfi & Kelebihannya: http://muzir.wordpress.com/2012/02/17/surah-al-kahfi-kelebihannya/


Permulaan Surah Al-Kahfi


Sunday, 9 March 2014

Jangan Taksub Atau Fanatik Selain Daripada Mentaati Allah & RasulNya

Setiap insan atau individu dituntut membaca dan memahami Al-Quran dan mengikut Sunnah Nabi S.A.W. Janganlah kita terlalu taksub atau fanatik dengan individu-individu lain. Lihat sekeliling anda. Ramai antara kita yang seperti taksub atau fanatik dengan seseorang individu sampai apa yang dicakap semuanya benar tanpa menilai sendiri apa yang mereka sampaikan. Ini termasuklah individu seperti ustaz-ustaz, ulamak-ulamak, pemimpin-pemimpin, parti-parti dan lain-lain lagi.

Allah S.W.T berpesan "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Hujuraat 49:6)

".....Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan." (An-Nisaa' 4:94)

Tapi bagaimana anda ingin menilainya?

Ikutlah pesan Nabi S.A.W. Antara pesan Nabi S.A.W dalam khutbah terakhirnya "Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu berpegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah NabiNya".

Ikutlah perintah Allah yang menyuruh kita membaca, memahami dan beramal dengan Al-QuranNya. "Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)? (Al-Anbiyaa' 21: Ayat 10)

Tapi bagaimana hendak menilai sesuatu yang disampaikan itu betul atau sahih?

Anda perlulah menimba ilmu itu sendiri. Satu sumber terbesar yang anda perlu pegang ialah Al-Quran. Baca dan fahamilah ia. Lebih elok dibaca dan difahami setiap hari hingga ke akhir hayat kita. Kemudian baca hadis-hadis sahih Nabi S.A.W. 


Petikan:

Golongan yang selamat tidak fanatik kecuali kepada firman Allah dan sabda RasulNya yang maksum yang berbicara tidak berdasarkan hawa nafsu. Adapun manusia selainnya betapa pun tinggi darjatnya terkadang dia melakukan kesalahan sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
كُلُّ بَنِي آدَم خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
“Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat.” (Hasan. Riwayat Ahmad)
Semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Lagi artikel tentang perkara ini disini:

http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/06/04/golongan-yang-selamat-tidak-taksub-fanatik-kecuali-pada-firman-allah-sabda-rasulullah/





"Bacalah Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" setiap hari walaupun 1 ayat sehari sehingga akhir hayat kita. Banyak manafaatnya. Sambil itu, dalamilah ilmu-ilmu lain terutamanya hadis yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Semoga kita dirahmati Allah. In Shaa Allah.

Sumber rujukan hadis online www.sunnah.com 

 

Friday, 7 March 2014

Taat Kepada Allah dan RasulNya

Di dalam Al-Quran, kita disuruh mentaati Allah dan RasulNya..kalau kita buat search ayat "taat pada Allah dan RasulNya" (boleh guna di www.surah.my) anda akan dapati ada 30 ayat dijumpai. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita perlu mentaati Allah dan RasulNya.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
(A-li'Imraan 3:32)

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
(A-li'Imraan 3:132)

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.
(An-Nisaa' 4:13)

Dan apakah yang Rasulullah S.A.W telah sampaikan untuk kita taati? Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:

Pada suatu hari, Rasulullah saw. muncul di antara kaum muslimin. Lalu datang seorang laki-laki dan bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Iman itu? Rasulullah saw. menjawab: Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-rasul-Nya dan kepada hari berbangkit. Orang itu bertanya lagi:

Wahai Rasulullah, apakah Islam itu? Rasulullah saw. menjawab: Islam adalah engkau beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun, mendirikan salat fardu, menunaikan zakat wajib dan berpuasa di bulan Ramadan. Orang itu kembali bertanya:

Wahai Rasulullah, apakah Ihsan itu? Rasulullah saw. menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu. Orang itu bertanya lagi:

Wahai Rasulullah, kapankah hari kiamat itu? Rasulullah saw. menjawab: Orang yang ditanya mengenai masalah ini tidak lebih tahu dari orang yang bertanya. Tetapi akan aku ceritakan tanda-tandanya; Apabila budak perempuan melahirkan anak tuannya, maka itulah satu di antara tandanya. Apabila orang yang miskin papa menjadi pemimpin manusia, maka itu tarmasuk di antara tandanya. Apabila para penggembala domba saling bermegah-megahan dengan gedung. Itulah sebagian dari tanda-tandanya yang lima, yang hanya diketahui oleh Allah. Kemudian Rasulullah saw. membaca firman Allah Taala: Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Kemudian orang itu berlalu, maka Rasulullah saw. bersabda: Panggillah ia kembali! Para sahabat beranjak hendak memanggilnya, tetapi mereka tidak melihat seorang pun. Rasulullah saw. bersabda: Ia adalah Jibril, ia datang untuk mengajarkan manusia masalah agama mereka. (Shahih Muslim No.10) - hadis ini dicopy paste dari www.islam2u.net

Dan apa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W itu sehaluan dengan yang diperintahkan oleh Allah. Surah Al-Baqarah (2) Ayat 1-5.
 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

1. Alif, Laam, Miim.


2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; 


3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. 


4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). 


5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.



"Bacalah Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. Lebih bagus kalau dapat baca setiap hari sehingga akhir hayat kita. Sambil itu, dalamilah ilmu-ilmu lain terutamanya hadis yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Semoga kita dirahmati Allah. In Shaa Allah.


Friday, 28 February 2014

Menyayat Hati: Perbualan Jururawat dan Pesakit

Cerita ini di copy paste dari kawan-kawan melalui Whatsapp. Saya kongsikannya disini.

Pesakit: "Abang jururawat, best bekerja di hospital? Dah lama ke kerja sini?"

Abang misi:→ "Bolehlah. Nak kata best, ada juga stressnya. Tapi, selama 5 tahun kerja di sini, dapat banyak pengalaman yang bernilai yang orang luar di sana takkan dapat rasa."

Pesakit: "Apa yang best sangat tu? Nurse-nurse lawa-lawa eh?"

Abang misi: →"Bukan. Tu tak best. Ada yang lagi best."

Pesakit: "Wah, apa dia?"

Abang misi: →"Di sini setiap hari saya lihat pesakit meninggal dunia. Kerja saya uruskan kencing berak mereka, bersihkan mereka hinggalah ke urusan jenazah.

→ Apa yang saya lihat sepanjang saya bekerja di hospital ni, betapa ramainya di antara mereka yang sudah meninggal..sebelum meninggal meminta-minta sama ada dari waris atau jururawat untuk pegang naskhah al-Quran.

→ Ada yang tak boleh baca, ada yang suruh kami bacakan. Ada juga yang tidak sempat sentuh al-Quran, tak sempat baca al-Quran, Allah telah pun mengambil nyawa mereka. Bila dibacakan sahaja al-Quran pada mereka, berlinangan air mata.

→Saya lihat betapa orang-orang yang berada di akhir nafas, majoriti nak sangat sentuh al-Quran. Kalau boleh, nak mati dengan peluk al-Quran. Pengalaman-pengalaman yang saya lalui di sini buat hati ini insaf. Sedar satu perkara yang sangat penting."

Pesakit: "Hm. Apa dia?"

Abang misi: →"Apa yang kita biasa pegang ketika kita masih sihat, apa yang kita biasa baca dan belai ketika masih hidup gembira tika tak datangnya sakit...itu jugalah yang kita akan dapat pegang dan sentuh di akhir hayat.

→Jika kita selalu pegang handphone di tangan setiap masa, sibuk dengan gajet di tangan dan lalai kerananya, agak-agak di akhir hayat kita nanti dapatkah kita sentuh dan pegang al-Quran? Sedangkan tangan kita tak biasa pegang al-Quran, sehari sekali pun susah nak belai dan belek al-Quran apatah lagi membaca atau mentadabburnya...Allah...Allah...

→Sungguh, kita dah tak perlu handphone atau gajet di akhir nyawa kita..kita sangat memerlukan al-Quran...barulah kita sedar masa itu apa yang dah kita rugi...Allah..Allah..."

Pesakit: "(menitis air mata.....) Abang..bacakan saya al-Quran...saya tak boleh baca..buta tajwid... "

Abang misi tersenyum. Dikeluarkan al-Quran mini dari kocek bajunya.

✔ Hampir 9 dari 10 pesakit yang beragama islam yang berada di katil hospital lazimnya memaparkan wajah penuh kesalan serta menyesal, menyesal dan menyesal tak ambil peluang untuk membaca Quran ketika sihat dan berpeluang?

✔ Wajah2 gerun dan seram bila ambang maut mendekati?

◆ Anda yang sihat yang membaca sms ini belum terlambat dan pintu taubat luas terbuka untuk kita memulakan sesuatu saat ini.

Jom copy paste n share kepada sesiapa saja....

Allah S.W. T bertanya kepada kita "Mengapa kamu tidak memahaminya (Al-Quran)?" Rujuk Surah Al-Anbiya ayat 10.

Surah Anbiya Ayat 10

"Bacalah Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah.


Friday, 21 February 2014

Al-Quran Itu Rahmat Dari Allah

Berikut ialah petikan mukadimah Al-Quran Per Kata keluaran Telaga Biru Sdn Bhd. Mukadimah ini ingin saya kongsikan diblog ini kerana ianya amat mendalam dan bermakna.

"Al-Quran adalah rahmat Allah swt yang paling besar kepada manusia. Ia merupakan "Kitab Ibadah" dan juga "Kitab Hidayah". Sebagai "Kitab Ibadah", setiap Muslim dapat beribadah dengan Al-Quran, yakni dengan sering-sering membacanya supaya mendapat pahala yang berlimpah.

Rasulullah saw bersabda:
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali gandanya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dikatakan kepada ahli Al-Quran: "Bacalah, naiklah dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membaca di dunia kerana kedudukanmu (di syurga) terletak pada akhir ayat yang kamu baca." (Hadis riwaya Tirmizi)

Sebagai "Kitab Hidayah", Al-Quran adalah sumber petunjuk paling utama. Ia adalah manual book untuk menjawab seluruh persoalan hidup yang dapat menjadikan manusia berjaya di dunia dan akhirat. Agar mendapatkan hidayah Al-Quran, setiap Muslim harus melalui tiga tahapan:

1. Memahami;
2. Menghayati; dan
3. Mengamalkan Al-Quran.

Pahala memahami dan mengamalkan Al-Quran jauh lebih besar daripada sekadaran membacanya. Untuk keperluan itulah, kami menyusun Tafsir Al-Quran Per Kata."

Oleh itu, jom "Baca Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah. Percayalah, teramat rugi untuk kita tidak memahaminya.


Snapshot Mukadimah Quran Per Kata - Telaga Biru


Tuesday, 10 December 2013

Lagi Bukti Mengapa Memahami Al-Quran Itu Amatlah Penting

Kisah ini amat menakjubkan. Ia sebuah pengakuan seorang saudara baru kita (seorang penganut Kristian sebelum ini) menceritakan bagaimana beliau mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T untuk memeluk Islam bermula dengan membaca terjemahan Al-Quran. Apakah kita masih tidak mahu memahami Al-Quran? Subhanallah.

Cerita saudara Hamza Isa Jennings ini membuktikan beberapa perkara kepada saya iaitu:
  1. Memahami Al-Quran itu penting. Apabila kita faham, barulah kita mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T.
  2. Saya pernah diberitahu, sekiranya kita ingin mendapat petunjuk dari Allah, apa yang kita buat ialah ambil Al-Quran (yang ada terjemahannya sekiranya kita tidak faham bahasa Arab), buka ia secara rambang. Muka surat yang pertama anda buka itu, cuba baca ayatnya. Disitu, anda akan dapat petunjuk dari Allah tentang apa yang harus anda lakukan atau petunjuk bagi anda tentang keadaan semasa anda sekiranya anda mempunyai masaalah ketika itu. Ada jawapan disitu. Saya pernah mencuba beberapa kali, Alhamdulillah, persoalan yang bermain di fikiran saya dijawab Allah melalui Al-QuranNya. Subhanallah.
  3. Jangan tinggalkan Al-Quran. Baca, fahami dan beramallah dengan ia, baik ketika kita susah atau sakit, mahu pun ketika kita senang atau sihat. In shaa Allah, kita tidak akan sesat atau tersimpang dari jalan Allah. Aamiin.
Saudara Hamza Isa Jennings menceritakan kisah beliau ini di fan page Facebook Convert to Islam. Saya mengambil cerita beliau dan menterjemahkannya dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ikuti kisah beliau dibawah:
 



Saya dilahirkan di dalam sebuah keluarga Roman Katolik dan bersekolah di dua buah sekolah rendah biara (convent) dan sebuah sekolah menengah Katolik Rom yang semuanya dikendalikan oleh pihak pengurusan gereja. Biarawati dan paderi-paderi yang mengajar kami (kebanyakannya berbangsa Ireland), merupakan orang-orang yang sangat baik, taat dan ikhlas. Saya, sudah tentu, tidak pernah meragui doktrin-doktrin yang telah diperkenalkan kepada saya sepanjang tahun tersebut (semasa zaman persekolahan tersebut).

Saya percaya kepada Tuhan, iaitu konsep yang bagi saya amat munasabah. Bagaimanapun ketika memasuki alam remaja, terutamanya ketika dalam tempoh selepas saya meninggalkan sekolah, saya mula berasa ragu-ragu (tidak tetap fikiran) dengan konsep Trinity. Disebabkan saya tidak dapat memahaminya dan pula, tiada siapa yang dapat menjelaskannya dengan sempurna walaupun sudah bertanya, saya berhenti daripada menghadiri perhimpunan di gereja dan mula tersasar.

Lama kelamaan saya tidak lagi mengingati Tuhan dalam kehidupan saya, saya sibuk dengan perkara-perkara keduniaan semata-mata. Ketika itu, saya ada juga bertanya kepada diri saya sendiri apakah saya masih percaya kepada Tuhan. Saya tahu dan yakin saya masih percaya. Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk menyembahnya.

Saya mula mencari ketenangan atas kekusutan fikiran saya yang mana sudah dikaburi dengan minuman keras dan dadah. Saat saya mendapat ketenangan menjadi detik-detik kegembiraan saya kerana ia membolehkan saya untuk benar-benar berfikir, melihat dan menyelidiki soalan-soalan peribadi yang penting dan bermakna.

Saya mula mengkaji berbagai agama yang berbeza untuk mendapatkan jawapan; saya bermula dengan agama Kristian kerana ia adalah sangat biasa bagi saya tetapi masih masalah lama yang sama iaitu tentang Trinity muncul semula ... Kenapa Tuhan yang mempunyai semua kasih sayang dan berkuasa, tidak memberi kemaafan (pengampunan), mengapa Dia perlu darah, kenapa perlu membunuh anaknya dan kepada siapa tebusan misteri ini perlu dibayar, kepada syaitan? Adakah syaitan sama dengan Tuhan, pasti tidak? Kerana tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan-soalan saya, saya membuat kesimpulan bahawa agama Kristian adalah tidak betul.

Agama Buddha menarik minat saya, sebagai pemerhati yang pasif ia kelihatan begitu rohani, saya tertarik dengan keamanan dan ketenangan yang saya nampak pada penganutnya. Dan apabila saya terserempak dengan seorang penganutnya (pendakwah agama Buddha) pada satu petang (saya tidak tahu mereka betul-betul wujud) beliau memberi sebuah buku kepada saya yang mana saya berbesar hati dan gembira untuk membacanya.

Namun demikian, saya berasa kecewa kerana mendapati ia adalah agama tanpa Tuhan. Ia percaya dan mengajak kepada doktrin (atau kepercayaan) penjelmaan semula. Oleh itu, saya benar-benar menolaknya. Walaupun saya kagum dengan kerohanian penganut agama Buddha yang saya temui itu di mana beliau menunjukkan kawalan diri yang menakjubkan seperti yang saya pernah lihat di TV, saya tidak percaya kepada agama yang tanpa Tuhan.

Ketika itu, saya benar-benar menolak Islam sebagai salah satu agama pilihan. Tidak mungkin. Saya fikir mereka (umat Islam) semua mundur, wanita mereka kelihatan seperti ditindas dan dari apa yang saya lihat di dalam berita dan media lain, orang-orang lelaki Islam nampak mementingkan diri sendiri (tidak ambil peduli), ganas dan benar-benar tidak munasabah. Tidak mungkin, terima kasih.

Jadi amatlah terkejut dan gerun saya apabila pada suatu hari ketika saya memasuki pejabat baru untuk mengemaskini dan menyelesaikan beberapa kerja saya, apabila saya mendongak dan melihat ke atas, saya terpandang seorang lelaki Islam yang berketinggian lebih kurang 6 kaki dengan janggut besar hitam juga sedang mengemas dan membuat kerja-kerja di pejabat yang sama. Ia seolah-olah seperti kami bakal menjadi jiran sepejabat. Saya berkata kepada diri saya sendiri, saya tidak mahu bercakap dengan beliau. Hanya selepas beberapa minggu kemudian dan selepas beberapa kali berbual tentang urusan-urusan kerja di pejabat, barulah saya mula suka dengan kawan baru saya ini.

Suatu hari dalam perjalanan pulang ke rumah dengan rakan sekerja baru saya ini, dia memainkan kaset ceramah agama. Orang yang berucap (penceramah) di dalam ceramah tersebut begitu bersemangat menyebut nama Jesus (Nabi Isa). Telinga saya tiba-tiba seperti tersentak, kemudian beliau menyebut anti Kristus (anti-christ / dajjal). Saya terfikir dan tertanya, saya tahu watak-watak ini, apa yang lelaki Islam ini (rakan sepejabat) buat dengan pita rakaman mengenai Isa? Saya betul-betul keliru, apa yang umat Islam tahu mengenai Jesus (Nabi Isa)? Rakan saya menjelaskan kedudukan tertinggi para Rasul-Rasul Allah sementara itu saya tetap menolak percubaan beliau untuk meyakinkan saya tentang Islam. Lama kelamaan saya berlembut dan saya mula bertanya soalan.

Apabila dia memberikan saya satu terjemahan Al-Quran saya berjanji kepadanya bahawa saya akan membacanya dengan fikiran yang terbuka. Sebelum saya membuka Al-Quran tersebut saya berfikir: “Jika ini benar (betul), saya perlukan jawapan. Pada ketika itu juga fikiran saya terlintas tentang Jesus (Nabi Isa). Saya buka buku (Al-Quran) tersebut secara rawak dan membaca ayat..

“Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu).” Surah 5 (Al-Maidah), ayat 75.

Ayat ini mengejutkan saya, saya terus membaca dan lebih banyak saya baca, lebih saya menjadi kagum. Ia adalah kuasa, kuasa kata-kata (ayat-ayat) dan saya berfikir, siapakah yang menulis seperti ini kalau bukan dari Tuhan? Saya menyedari bahawa saya telah membaca kata-kata dari Tuhan (dari Allah S.W.T). Dengan pengetahuan tersebut, segala-galanya berubah.

Soalan-soalan yang berada di fikiran saya terus terjawab apabila saya, secara rawak, terus membaca ayat-ayat Al-Quran tersebut. Dalam masa yang sama, mesej-mesej dari ayat-ayat itu menyentuh hati saya sehingga ke tahap jantung saya berdebar-debar laju. Saya dapat merasakan perasaan saya terus teruja; ia adalah seperti campuran keseronokan, kagum, pengetahuan tertinggi ... kebenaran.

Semasa saya terus membaca, perasaan teruja ini terus terbina dan berkembang sehingga saya tidak dapat bertahan lagi dan menjerit kegembiraan. Rambut saya berdiri tegak sambil saya melompat-lompat di atas katil keseronokan. Saya mengigil, terasa kepenatan, kagum dan fikiran saya berlegar-legar dengan pelbagai imej dan pemikiran. Saya telah menemuinya (kebenaran), woaa, saya telah menemuinya, saya telah menemuinya.

Tetapi apa yang perlu saya lakukan sekarang? Bagaimana cara saya boleh menjadi Islam dengan serta merta? Saya mungkin menjadi gila kerana jika saya (memeluk Islam sekarang), saya akan kehilangan segala-galanya. Saya tidak ragu-ragu sama sekali, ayah saya sudah tentu akan mengecam saya dengan pelbagai ancaman. Itu menakutkan saya.

Rakan Muslim saya menenangkan saya dan bercakap tentang Nabi Muhammad (S.A.W) dan para sahabat. Saya cuba untuk meyakinkan rakan-rakan saya dan keluarga tetapi semakin saya terangkan lebih banyak kepada mereka, semakin kuat mereka menolaknya .. Saya berdoa dan berharap kepada Allah agar membimbing keluarga dan rakan-rakan saya. Saya juga berharap dan meminta agar Allah (memberi) saya, hanya satu sahaja, hanya satu sahaja daripada rakan-rakan saya (agar diberi petunjuk) kerana saya amat memerlukan seseorang (untuk memberi sokongan).

Ada seorang rakan, beliau sentiasa menghormati orang lain, tidak pernah menghina dan beliau terkenal sebagai seorang yang sangat seimbang dalam pandangannya. Saya bertemu dengan beliau dan mula bercakap tentang Islam. Saya telah memberikan kepadanya dua buah buku, terjemahan Al-Quran dan Nabi Isa dalam Islam, yang ditulis oleh Ahmed Thompson. Dia memandang saya dan berkata, "Saya seorang Kristian dan saya akan mati sebagai seorang Kristian, tetapi saya akan membaca buku-buku anda." Saya berpuas hati dengan jawapan beliau itu, ianya lebih baik berbanding daripada (rakan-rakan) yang lain. Saya katakan kepada beliau bahawa saya tidak mahu berjumpa beliau selama dua minggu supaya beliau pergi dan membaca buku-buku tersebut dengan minda yang terbuka.

Dua minggu kemudian, saya terserempak dengan dia di jalanan, matanya seperti mahu tersembul keluar apabila dia melihat saya, dia kelihatan sangat teruja, dan berkata "Yennings, anda betul, anda betul ...". Saya menjawab, "Apa yang kamu maksudkan? " walaupun saya tahu perkara apa yang dia rujuk tetapi saya mahu mendengar dia mengatakannya sendiri. "Anda betul, anda betul selama ini... Islam adalah benar!" Dengan berlinangan air mata, kami ketawa dengan kegembiraan.

Saya masih tidak memeluk Islam ketika itu dan pada satu malam saya bermimpi;
Ia adalah Hari Kiamat, saya dikelilingi oleh beribu-ribu orang dan setiap seorang daripda mereka berada dalam ketakutan, mereka semua menjerit dan kami semua diarah ke satu tempat, ke tempat di mana pengadilan muktamad akan dibuat. Saya menyedari betapa seriusnya keadaan tersebut dan mula panik. Apabila saya melihat sekeliling, saya tidak dapat melihat mana-mana pun umat Islam, semua yang saya nampak adalah orang-orang bukan Islam yang kelihatan berputus asa.

Saya melompat naik ke atas bahu beberapa orang dan mula mencari orang-orang Islam, saya mula menjerit "Saya mahu bersama dengan orang-orang Islam, di mana orang-orang Islam?" Tetapi semua yang saya nampak, dari kaki langit ke kaki langit, adalah aliran orang ditolak kedalam satu arah. Saya mula bergerak kearah yang bertentangan. Saya dilanggar, ditendang dan ditolak ketika saya cuba sedaya upaya untuk melepasi mereka. Saya menangis tanpa kawalan kerana saya tahu saya telah meninggal dunia dan saya tahu saya telah dibangkitkan dengan orang bukan Islam. Ia adalah Hari Kiamat dan tidak ada jalan kembali ... saya menangis tanpa kawalan dan kemudian ... saya terjaga. (Saya berkata kepada diri saya sendiri) sudah tidak ada alasan lagi.

Pada satu Jumaat, akhirnya kami bersetuju untuk pergi ke Masjid Birmingham Centre untuk memeluk Islam. Kami bertemu dengan rakan Islam saya dan dia membawa kami kepada Imam. Dengan diperhatikan (disaksikan) oleh beberapa saudara Islam yang lain, kami duduk dan mengulangi apa yang Imam ucapkan. Kami berdua, bersama-sama, mengisytiharkan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya. Saya kini seorang Islam dan saya amat gembira. Ia mengambil masa untuk ahli-ahli keluarga saya untuk menerima penukaran saya tetapi Alhamdullilah saya lebih berbahgia berbanding sebelum ini.

Hamza Isa Jennings

(cerita asal disini versi bahasa Inggeris disini Convert to Islam – Hamza Isa Jennings)

Antara ayat-ayat yang diterangkan Allah ketika hari Kiamat...perhatikan saudara Hamza bermimpi melihat perkara yang sama. Subhanallah.
1. Surah Al-Mursalat (77), ayat 35-38
2. Surah Al-Qiyama (75), ayat 24
(nota - banyak ayat-ayat lain yang menerangkan tentang Hari Kiamat. Saya hanya pilih 2 sebagai contoh).

Surah Al-Mursalat Ayat 35-38



Surah Al-Qiyama ayat 24-26





Tuesday, 3 December 2013

Peta Hidup Dan Destinasi Terakhir Kita - ringkas dan padat sebagai ingatan untuk kita.

Kenapa kita dijadikan?
  1. Surah 51 (Adh-Dhariyat), Ayat 56 "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
  2. Surah 2 (Al-Baqarah), cebisan Ayat 30 - "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"......"
Panduan yang diberikan:
  1. "....Al-Quran ini ialah panduan-panduan dari Tuhan kamu (Allah), dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang yang beriman." - cebisan ayat 203 Surah Al-A'raf
  2. Rasullullah S.A.W juga berpesan kita merujuk Al-Quran dan sunnah-sunnah beliau semasa khutbah terakhirnya. Antara pesanan Rasulullah S.A.W didalam khutbah terakhir ketika Haji Wada' (haji terakhir sebelum beliau wafat) - petikan khutbah beliau: "...Maka perhatikanlah apa yang kukatakan ini, wahai manusia sesungguhnya aku telah sampaikan. Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu berpegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah NabiNya...."
Tujuan dan matlamatnya - Menuju ke alam akhirat dengan berjaya
  1. Surah Al-Baqarah, Ayat 4 "Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
  2. Surah Al-Baqarah, Ayat 5 "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya"
Apakah kejayaan yang dicari itu?
  1. Surah 9 (At-Taubah), Ayat 88: "Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya."
  2. Surah 9 (At-Taubah), Ayat 89: "Allah telah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah kemenangan yang besar."

Oleh itu, jom "Baca Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah