Pages

Monday, 26 August 2013

Fakta Tentang Kitab Suci Al-Quran

“Al-Quran adalah satu-satunya tulisan suci (Kitab Suci) agama yang telah berada dalam edaran untuk sekian lama dan lagi kekal sebagai tulen seperti pada permulaannya. Al-Quran telah disimpan utuh. Tiada apa-apa telah ditambah kepadanya, tiada apa yang telah diambil darinya sejak lengkapnya wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W 1400 ratus tahun lalu” – Dr. Zakir Naik

Kerana sesungguhnya Allah S.W.T melindungi Al-Quran itu seperti yang disebut dalam salah satu ayat di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 27 (terjemahannya):

“Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu (iaitu Al-Quran); tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.”

Surah Al-Kahfi, Ayat 27

Marilah mengaji Al-Quran dan baca sekali terjemahannya supaya kita mendapat berkat, hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T. In shaa Allah. Amin.









Saturday, 24 August 2013

Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya


Dakwah saya sangatlah mudah. Saya ingin mengajak muslimin muslimat sekalian, sekiranya kita tidak faham atau fasih berbahasa Arab, apabila mengaji Al-Quran, bacalah dengan terjemahannya sekali. Saya mengamalkannya setiap kali saya mengaji dan saya dapati faedah, kebaikan dan manafaat apabila saya faham ayat-ayat tersebut amatlah besar. Kerana itu saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan anda sekalian.

Dibawah ini saya senaraikan kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali. Anda boleh komen atau beri pendapat dan pandangan anda sekiranya apa yang saya senaraikan ini tidak betul atau anda punya pandangan yang berbeza.

Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya:  

1. Menyahut atau menurut perintah Allah S.W.T yang menghendaki kita memahami Al-Quran.

Dalam Surah Al-Anbiya ayat 10, terjemahannya "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kepada kamu sebuah kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)". Bukankah sebagai seorang muslim sejati, kita perlu menurut perintah Allah? Oleh itu, fahamilah Al-Quran itu seperti yang disuruh Allah S.W.T. Kalau kita tidak faham ayat-ayat Al-Quran itu, carilah terjemahannya.

2. Mengelak dari kesesatan

Tidak dinafikan di masa sekarang, terlalu banyak fahaman-fahaman yang berbeza didalam Islam itu sendiri. Ramai ulamak-ulamak, ustaz-ustaz dan juga individu-individu yang berbeza pendapat tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang, kita sendiri keliru yang mana satu yang betul. Sebagai contoh, syiah, sunni, wahabi, cara bersolat, sunat atau wajib dan berbagai lagi.

Rasulullah (Nabi Muhammad) S.A.W telah berpesan dalam khutbah terakhirnya menyuruh kita merujuk Al-Quran dan sunnah-sunnah beliau. Pesan Rasulullah S.A.W didalam khutbah terakhir ketika Haji Wada' (haji terakhir sebelum beliau wafat) - petikan khutbah beliau: "...Maka perhatikanlah apa yang kukatakan ini, wahai manusia sesungguhnya aku telah sampaikan. Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu berpegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah NabiNya...."

Kalau kita tidak faham Al-Quran bagaimana kita boleh mengelak kesesatan? Bagaimana kita hendak tahu apabila ada topik atau perkara yang dibincangkan, kata-kata penyampainya itu betul atau salah atau anda bersetuju atau tidak setuju. Jawapannya, anda perlulah tahu isi kandungan Al-Quran itu. Apabila anda tahu apa yang Allah dan para Rasul-Nya pesan, anda boleh menilai sendiri sesuatu perkara.

3. Menambah ilmu

Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ilmu-ilmu yang Allah sampaikan. Kalau kita tidak faham ayat-ayat tersebut, bagaimana kita hendak tahu ilmu tersebut. Seorang rakan pernah bagi perumpamaan. Apabila seseorang itu pandai mengaji tetapi tidak faham maknanya, ia umpama kita menyanyi lagu asing contoh lagu Hindustan tapi tidak tahu makna lirik yang kita nyanyikan.

Saya amat bersetuju dengan perumpamaan ini kerana sebelum ini, saya juga hanya mengaji tetapi tidak faham maksud ayat-ayat tersebut. Setelah saya baca terjemahannya, barulah minda dan hati saya terbuka dan sedar betapa besarnya ilmu yang Allah turunkan dalam Al-Quran itu. Terasa rugi kalau kita tidak faham.

4. Mendapat ketenangan dan berasa aman

Apabila anda faham isi Al-Quran itu, anda akan faham kenapa dan mengapa sesuatu perkara itu berlaku, kenapa anda diminta menunaikan solat, membayar zakat, berpuasa dan sebagainya. Anda juga akan dapat pengajaran kenapa dan mengapa Allah menyuruh kita menyembah Beliau, bukan benda-benda yang lain.

Setelah faham, anda akan berasa aman dan tenteram. Hendak mengerjakan ibadat pun anda akan berasa mudah. Semuanya kerana Allah S.W.T. Untuk mendapat ini, perlulah anda membaca dan memahami Al-Quran dahulu.

5. Mendapat pahala kebaikan di akhirat kelak

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim). Ini antara hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan kebaikan membaca Al-Quran. Ada banyak lagi yang anda boleh rujuk (*).


Kesimpulannya, fahamilah Al-Quran itu, bukan sekadar mengaji sahaja tanpa faham maksud-maksud ayat di dalamnya. Semoga kita diberkati dan diredhai Allah S.W.T. Amin.





Rujukan lain (*):
http://nurpasti.blogspot.com/2011/09/15-kebaikan-membaca-dan-mengamalkan-al.html




Wednesday, 21 August 2013

Mendapat Hidayah dari Al-Quran - Cerita Saudari Baru

Cerita ini menarik untuk kita berkongsi bersama. Ia diambil dari salah satu FB page (Adam & Hawa). Menariknya kerana setiap kali sesiapa sahaja mengkaji Al-Quran dan faham kandungannya, in shaa Allah, dengan izin-Nya, seseorang itu akan mendapat hidayah dan petunjuk.

Saya gemar mengikuti cerita-cerita saudara atau saudari baru Islam kita kerana saya ingin tahu bagaimana mereka mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah. Bagi saya, mereka ini istimewa kerana mereka memeluk Islam setelah terbuka hati mereka. Berbanding mereka yang lahir Islam dimana mereka telah diajar dan diasuh dari kecil. Bukan senang seseorang bukan Islam membuat keputusan untuk memeluk Islam. Kerana itu bagi saya, mereka ini istimewa.

Hasil dari cerita-cerita yang saya ikuti, kebanyakan mereka memeluk Islam setelah membaca, memahami dan mengkaji Al-Quran. Sudah tentu mereka membaca terjemahannya kerana bukan semua orang faham atau fasih berbahasa Arab. Itulah salah satu kelebihan apabila kita membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali.

Namun tidak dinafikan juga, mereka yang lahir Islam boleh berubah dari kurang arif atau alim, kepada alim. Mereka ini juga insan istimewa kerana Allah memberi mereka hidayah dan petunjuk untuk berpegang teguh atau kembali atas jalan lurus-Nya.

Saya copy paste cerita asal seorang muslimah (muallaf - saudari baru Islam kita) dari page tersebut. Berdasarkan tarikh posting, ia sekitar bulan April 2012. Tarikh betul saudari baru kita ini memeluk Islam tidak diketahui. Wallahualam. Namun, ikuti kisah menarik beliau di bawah.

Loo Jo Yee . Ada kisah menarik mengenai beliau. Mari kita kongsi cerita beliau.

"Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.
Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan.

Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.
Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah Taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah Taala dan pada waktu itu juga la beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah.

Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri."





P/S Seperti biasa, pesanan saya...jangan lupa "Apabila Mengaji Al-Quran, Bacalah Terjemahannya Sekali".



Tuesday, 20 August 2013

Benarkah Al-Quran Apple APP STORE oleh komuniti Ahmadiyyah / Qadiani salah?

Mesej 1
Isu ini pernah tersebar, mungkin bermula tahun 2011/12. Bulan lepas (July 2013) saya menerima lagi mesej ini, maknanya, ia masih lagi tersebar. Kerana ingin tahu, saya pun mengkaji serba sedikit imej-imej dan website yang dihantar melalui mesej ini.

Disertakan di sini mesej asal yang diterima dalam Bahasa Melayu. Ada versi dalam Bahasa Inggeris (link Bahasa Inggeris).


Mesej 1a
Persoalannya - Benarkah Al-Quran yang dikeluarkan oleh komuniti ini salah atau mengelirukan?

Wallahuallam tapi berikut adalah hasil kajian saya (mungkin juga tidak berapa betul, anda buatlah penilaian sendiri). Perlu dijelaskan pertama sekali, saya bukanlah ahli pada mana-mana komuniti. Niat saya, sekirannya mesej ini tidak betul, saya berharap Allah membantu saya menerangkan kepada anda. Sekiranya mesej itu betul, saya berharap Allah menerima kemaafan saya dan anda boleh beri komen dimana silapnya.

Cara saya membuat analisis adalah seperti berikut:



1. Saya tidak dapat mengdownload Applikasi Al-Quran itu dari Apple Apps Store. Jadi penerangan atau analisa saya hanya melalui imej yang disertakan dalam mesej-mesej ini.

2. Saya pengguna iQuran Pro, versi 2.3.3 android yang juga digunakan dalam imej tersebut sebagai perbandingan.

3. Saya juga membuat rujukan ke atas ayat yang sama (yang dikatakan dikelirukan) dengan Quran Per Kata (edaran Telaga Biru), Kitab Al-Quran (bahasa Arab sahaja) dan iQuran Pro Android yang saya gunakan sekarang.

4. Ketika saya merujuk kepada Apple Apps Store, saya dapati sudah ada update pada Quran dari komuniti ini. Kemungkinan besar perbandingan yang dibuat adalah dari versi 1.0 (klik link untuk ke Apple Apps Store)






Quran Apps dari Komuniti Ahmadiyya. Perhatikan ini adalah versi 2.0. Skrin shot berbeza. Mungkin yang tersebar atau yang dipapar didalam mesej adalah versi lama.












Hasil analisa saya adalah seperti berikut:

Berdasarkan imej yang disertakan dalam mesej itu, ia merujuk kepada Ayat 7 (imej kata 6) dari Surah Al-Imran (dipetik dari quran online tokeikedai.net/alquran):

هُوَ الَّذِيَ أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاء الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاء تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الألْبَابِ

Terjemahannya (dari website tokeikedai):
Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.

Terjemahannya (dari iQuran Pro 2.3.3):
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas, dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata "Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami". Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.

Analisa

  1. Apabila saya bandingkan ayat tersebut, saya dapati, ayat yang dipaparkan pada skrin Al-Quran Apple itu sama dengan ayat yang saya rujuk pada kitab-kitab lain termasuk iQuran Pro versi 2.3.3 android saya.
  2. Tetapi, apabila saya bandingkan ayat yang diambil dari skrin android itu (yang ditunjuk melalui handphone Samsung), terdapat tambahan huruf atau perkataan (3 perkataan) yang saya pun tidak tahu maknanya.
  3. Berdasarkan tulisan dibawah skrin itu, ia kata ayat tersebut diambil dari iQuran Pro Software sedangkan iQuran Pro yang saya pakai sekarang, tidak ada tambahan 3 perkataan itu. Lihat perbandingan dibawah.

Perbandingan antara iQuran Pro ver 2.3.3

Perbandingan dengan Quran Per Kata (Edaran Telaga Biru)


Perbandingan dengan Quran Tanpa Terjemahan


Kesimpulannya

Adakah benar kenyataan yang disampaikan oleh mesej yang tersebar ini yang mengatakan Al-Quran Apple Apps Store keluaran komuniti Ahmaddiyah ini salah atau mengelirukan? Terdapat satu artikel lain yang juga mempertikaikan kesahihan mesej ini, http://quraan-today.blogspot.com/2012/10/boycotting-quran-application-on-i-phone.html

Anda buatlah penilaian anda sendiri. Saya sekadar menjelaskan sahaja. Semoga Allah melindungi kita semua dari perkara-perkara yang tidak baik. Dan seperti biasa, jangan lupa...Apabila Mengaji Al-Quran, Bacalah Terjemahannya Sekali. Amin.

Wednesday, 31 July 2013

Cerita Nuzul Quran 2013

Sepanjang Nuzul Quran tahun 2013 pada tanggal Jumaat, 26hb Julai 2013 lalu, banyak program di televisyen mahu pun tazkirah-tazkirah di masjid berkisar tentang cerita Al-Quran. Sebagai contoh:

1. TV9 Program Tanyalah Ustaz - topik perbincangan bertajuk Kuasa Al-Quran oleh Dr. Danial
2. TV3 (tak ingat programnya)
3. Tazkirah di masjid Al-Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong (tak ingat nama Ustaz)
4. TV Al-Hijrah Program Reflections oleh Imam Shuaib Webb di UIA

Kesimpulan dari program-program ini ialah kita sebagai seorang muslim perlulah membaca dan faham isi kandungan Al-Quran itu. Ia bukan sahaja mengandungi mukjizat tetapi panduan dan petunjuk dari Allah. Dr. Danial dalam programnya antaranya mengajak kita baca bersama dengan terjemahan dan tafsir Al-Quran itu supaya kita lebih memahami ayat-ayat tersebut.

Apa yang saya ingin sentuh disini ialah salah satu soalan yang diajukan oleh Imam Shuaib Webb dalam program Reflections di TV Al-Hijrah berbunyi (terjemahannya) umat Islam sekarang semakin jauh dari Al-Quran, bagaimana kita boleh dekatkan mereka ini kepada Al-Quran? Jawapan saya untuk soalan ini ialah seperti berikut:

Soalan -  Umat Islam semakin jauh dari Al-Quran

Jawapan saya - Ramai beranggapan membaca Al-Quran tidak perlu selalu. Dapat khatam sekali pun sudah cukup. Pernah seorang ustaz di masjid Kinrara bertanya, bila kita kali terakhir khatam Al-Quran, semasa kecil dulu kah? Dr. Zakir Naik di dalam fan page facebook beliau pernah bertanya, bila kali terakhir kita baca Al-Quran? Tahun lepas? Dahulu saya juga beranggapan begini yang sebenarnya satu kesilapan.

Kerana ramai antara kita belajar mengaji semasa kecil dulu tidak diajar baca terjemahannya. Oleh itu, kita hanya ingat mengaji Al-Quran hanyalah sekali sahaja sedangkan kalau kita dapat baca dan faham terjemahan beserta tafsirnya setiap hari, terlalu banyak ilmu dan panduan kita dapat. Begitu juga hati kita sentiasa tenang dan kekuatan iman kita pada Allah semakin kuat.

Soalan - bagaimana kita boleh dekatkan mereka ini kepada Al-Quran?

Jawapan saya - setiap orang mempunyai cara mereka sendiri. Bagi saya, cara saya berpesan adalah melalui blog ini dan fan facebook yang ikhlas mengajak semua muslimin muslimat sekalian, apabila mengaji Al-Quran, bacalah terjemahannya sekali. Apa pun caranya, yang penting kita sendiri kena buat dahulu. Pastikan kita bila mengaji, membaca terjemahannya sekali. Barulah kita boleh berkempen, berdakwah atau berpesan pada orang lain.

Salah satu cara yang mungkin berkesan yang kadang-kadang kita boleh amalkan ialah apabila kita ingin menghadiahkan seseorang sebuah Al-Quran sebagai contoh hadiah perkahwinan, belilah yang ada terjemahannya. Begitu juga kalau kita ingin mewakafkan Al-Quran, wakafkan Al-Quran yang ada terjemahannya. Seperti Dr. Danial cakap, Al-Quran itu mengandungi hidayah bagi setiap manusia. Mungkin kalau ada orang baca terjemahannya, orang tersebut bertambah ilmunya atau kebaikannya atau berubah menjadi alim. Dapat juga kita pahala kebaikan dari Allah S.W.T.

Kedua - sekiranya kita ada anak, ajarlah mereka untuk membaca terjemahan dan tafsirannya sekali.

Apa-apapun, berbagai cara boleh dilakukan. Terpulanglah pada cara masing-masing asalkan tidak melanggar hukum dan perintah Allah.

Akhir sekali, jom, apabila Mengaji Al-Quran, Bacalah Terjemahannya Sekali. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah.




Wednesday, 24 July 2013

Kenapa Kita Perlu Fahami Al-Quran

Kenapa perlu kita fahami Al-Quran? Atau yang lebih tepat, Allah S.W. T bertanya kepada kita "Mengapa kamu tidak memahaminya (Al-Quran)?" Rujuk Surah Al-Anbiya ayat 10. Dengan jelas dan nyata, Allah S.W.T bertanya kepada kita kenapa kita tidak memahami Al-Quran itu. Apakah jawapan kita?


Kerana itu adalah penting selain dari pandai mengaji, kita perlu baca terjemahan ayat-ayat Al-Quran itu terutamanya kalau kita tidak pandai berbahasa Arab. Allah S.W.T mahu kita mendapatkan rahmat, hidayah, petunjuk, panduan dan berbagai-bagai hikmah dariNya. Allah S.W.T telah memberinya melalui Al-Quran.

Sebagai contoh. (1) Kehebatan madu lebah yang mengandungi pelbagai khasiat dan penawar kepada berbagai penyakit diterangkan dalam Surah An-Nahl 68-69.




Contoh (2) Dengan ilmu yang diperolehi dari Al-Quran, kita berupaya menangkis bidaah-bidaah yang direka cipta manusia yang berniat tidak baik dan mengelakkan diri kita dari perkara yang tidak di ingini. Ikuti pesan Mufti ini dari Jeddah, Mekah. (link ke video).

Contoh (3) Ketika dilanda kesusahan, kita harus sedar itu hanyalah ujian dari Allah S.W.T dan perlu sentiasa ingat padaNya. Ketika kita berada dalam kesenangan, ia juga ujian dari Allah S.W.T dan kita perlu bersyukur padaNya. Surah Al-Anbiya Ayat 35.




Banyak lagi hikmah-hikmah yang terdapat dalam Al-Quran. Kerana itu Allah S.W.T bertanya kita kembali "Mengapa kamu tidak memahaminya (Al-Quran itu)".

Surah Al-Anbiya Ayat 10 (sebagai rujukan terjemahan lain)



Begitu juga dengan surah Sad ayat 29:





Oleh itu, marilah kita menyahut seruan Allah S.W.T untuk memahami Al-QuranNya. "Bacalah Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah.



Monday, 15 July 2013

Apakah Yang Kita Inginkan? Khatam Al-Quran Banyak Kali Atau Nak Dapat Hidayah Petunjuk Al-Quran Setiap Hari

Bulan Ramadhan ialah bulan dimana Al-Quran itu pertama kali diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. Kerana itu ramai para alim ulamak dan ustaz-ustaz menganjurkan kepada kita untuk mengaji Al-Quran sepanjang Ramadhan ini supaya mendapat keberkatannya dan mendapat pahala tambahan selain pahala berpuasa dari Allah.

Jadi, ramai lah yang bagi tip macam mana nak khatam Al-Quran sebulan ini sebagai contoh baca 4 mukasurat sehari atau ada juga yang berkemampuan membaca 1-2 surah sehari. Tidak dinafikan perkara ini bagus, in shaa Allah, Allah akan memberi kita keredhaanNya dan keberkatanNya berbanding kalau tidak buat langsung.




Persoalannya...

Kalau setakat nak kejar berkat khatam Al-Quran sahaja, baik baca Surah Al-Ikhlas 3x sehari kerana berdasarkan hadis Nabi seperti berikut (sumber rujukan dari http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/12/22/fadhilat-dan-khasiat-surah-al-ikhlas):

Orang yang membaca surah Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
“Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka seakan-akan dia telah membaca Al-Quran seluruhnya.” (Hadith Riwayat Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy)

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya: “Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangka masa dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat.
Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.
Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali khatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.
Sabda Rasullullah SAW:  “Sesiapa membaca ‘Qul huwAllahu Ahad’ sebanyak 3 kali, dikurniakannya pahala seperti pahala orang yang membaca Al-Quran sekali khatam.”

Hadis ini hadis sahih, jadi memang mudah untuk kita mendapat keberkatan berkhatam Al-Quran setiap hari. Sebelum tidur, bacalah surah Al-Ikhlas ini sebanyak 3x kali. In shaa Allah, kita dapat keberkatan yang setanding berkhatam Al-Quran sekali.

Tapi tahukah anda, sebenarnya didalam Al-Quran itu banyak ilmu-ilmu dan petunjuk yang Allah berikan kepada kita. Rugi kalau kita tidak memahami ayat-ayat di dalam Al-Quran.

Kalau kita hendak mengejar khatam Al-Quran sahaja tetapi kita tidak faham maknanya atau terjemahannya kerana kita tidak fasih atau tidak faham Bahasa Arab (tetapi kita pandai mengaji), ilmu-ilmu itu tidak sampai kepada kita. Yang kita dapat mungkin pahalanya sahaja (Wallahhualam).

Cuba kita renungi sebahagian kisah-kisah dibawah:
1. Pengalaman saudara kita selepas memahami terjemahan Quran
2. Mendapat HidayahNya Setelah Membaca Al-Quran dan terjemahannya
3. Masuk Islam setelah mengkaji Al-Quran secara online (guna terjemahannya)
4. Pengalaman saya sendiri

Oleh itu, tidak perlulah kita mengejar khatam Al-Quran beribu kali tanpa memahami ayat-ayat di dalam Al-Quran itu. Khatam banyak kali tidak sama manafaatnya dengan mendapat ilmu Al-Quran walaupun dibaca hanya sekali. Kejarlah ilmu didalam Al-Quran itu. Bila mengaji bacalah terjemahannya sekali.

Sebagai permulaan, cuba amalkan baca Al-Quran dengan hanya 5 ayat sehari bersama terjemahannya. Didalam Al-Quran, terdapat 6,236 ayat (114 Surah). Kiraannya:

6, 236 ayat / 5 ayat sehari = 1247.2 hari
1, 247.2 hari / 365 hari = 3.42 tahun

Secara logiknya, anda perlukan 3 tahun setengah untuk khatam Al-Quran sekali. Mungkin terlalu lama tapi tahukah anda, setiap hari kita akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah melalui Al-Quran (in shaa Allah). Ini kerana kita baca setiap hari. Hati kita akan sentiasa dekat dengan Allah (in shaa Allah).

Setelah khatam, saya syorkan ulang semula sehingga ke akhir hayat kita. Oleh itu tiap-tiap hari anda akan dekat dengan Allah dan Al-Quran-Nya dan mendapat ilmu setiap hari (in shaa Allah).

Dari pengalaman saya sendiri, memang seronok apabila membaca dan faham ayat-ayat Al-Quran tersebut. Ilmu kita bertambah dan setiap hari kita ingat pada Allah (in shaa Allah).

P/S: Apabila Mengaji Al-Quran, Bacalah Terjemahannya Sekali. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah.