Pages

Sunday, 15 September 2013

Mula Mula Benci, Bila Dah Tahu, Jatuh Cinta - Inilah Hikmah Apabila Memahami Al-Quran

Al-Quran itu ialah untuk semua manusia, baik yang Islam ataupun bukan Islam. Allah memberi panduan, petunjuk dan hidayah kepada kita semua melaluinya. Kerana itu kita sebagai umat Islam terutamanya, disarankan membaca Al-Quran termasuk memahami ayat-ayatnya. Kalau tidak paham bahasa Arab, bacalah dengan terjemahannya.

Kisah yang saya ingin paparkan disini ini menarik kerana saudara baru kita ini (memeluk Islam 4 tahun lepas, 2011) seorang bekas askar "marine" Amerika. Kisah beliau dikongsi dilaman FB page Convert to Islam.

Pada mulanya, beliau amat membenci Islam kerana menganggap Islam agama yang jahat dan tidak masuk akal (non sense). Selepas mengkaji dan membaca Al-Quran beserta terjemahan & tafsirannya, hati beliau terbuka. Dengan hidayah dan petunjuk Allah, beliau membuat keputusan memeluk Islam.

Kesimpulannya, bacalah Al Quran itu dengan terjemahannya. Kalau yang bukan Islam boleh mendapat manafaat setelah membacanya, kenapa kita (orang Islam) tidak mahu memahaminya. Didalam Al-Quran itu banyak manafaatnya. Teramat rugi kalau kita tidak memahami ayat-ayat Al-Quran itu walaupun kita pandai mengaji dan telah khatam banyak kali. In syaa Allah.

Dibawah ialah terjemahan kisah beliau. Kisah asal beliau yang diceritakan didalam bahasa Inggeris boleh dibaca disini.

"Ya, saya seorang Muslim. Kenapa? Saya seorang rakyat Amerika dan bekas tentera marin. Secara jujurnya, dahulu saya sebagai orang biasa Amerika amat membenci dan takut kepada Islam. Saya menghina Islam dan fikir ia jahat termasuk perkara-perkara yang bagi saya tidak masuk akal.

Saya mengkaji banyak agama-agama lain, cuba mencari sedikit ketenangan dan "kebenaran", cuba mencari "Tuhan", itupun sekiranya Dia wujud. Ketika itu saya ragu-ragu akan kewujudanNya. Akhirnya saya membuat keputusan untuk meneliti (mengkaji) tentang Islam. Namun, pada mula tujuannya bukanlah untuk mencari "Tuhan". Saya amat ingin tahu apakah agama "jahat" ini yang mana negara saya sedang berperang dengannya. Saya ingin tahu "musuh" saya.

Oleh itu, saya membuat kajian, mengambil senaskah Al-Quran yang mengandungi nota dan ulasan (terjemahan & tafsiran) dan mula membacanya. Dalam beberapa hari, saya nampak banyak kebenaran dan kredibiliti (boleh dipercayai) di dalam pesanan-pesanannya dan sejarahnya berbanding dengan fahaman-fahaman (agama-agama) lain yang telah saya kaji sebelum ini.

Pesanan-pesanan di dalam Al-Quran itu boleh dipercayai dan bersangkut-paut dengan diri saya. Pada saya, ia amat masuk akal. Bukan itu sahaja, saya tiba-tiba yakin dengan kewujudan Tuhan. Itu ialah kisah 4 tahun yang lepas. Semasa dalam 4 tahun tersebut, saya betul-betul telah berubah.

Sebelum ini saya sangat jahil, sombong, penuh dengan kebencian dan berputus asa terhadap kehidupan di dunia ini. Islam ialah satu-satunya perkara dalam seluruh kehidupan saya yang telah memberi inspirasi kepada saya, mengajak kepada menyayangi orang-orang lain dan mengajak kita menjadi seorang yang lebih baik.

Ia juga adalah satu-satunya perkara yang telah memberi saya harapan dan menjadikan dunia yang gila ini waras. Pada ketika dahulu, saya nampak kekecohan dan trajedi, sekarang saya nampak sebab dan tujuan kita dalam kehidupan ini walaupun kadang-kadang saya tidak memahaminya.

Malah kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga saya mengatakan bahawa saya sudah berubah berbanding dahulu, iaitu menjadi lebih baik. Kalaulah bukan kerana Islam, saya mungkin sudah mati, sama ada dari fizikal atau pun rohani dan emosi, sama seperti ketika sebelum saya secara "tidak sengaja" bertembung dengan Islam. Alhamdulillah" - Jarod Smith



P/S - Amalkan membaca Al-Quran dan terjemahannya sekali, banyak manafaatnya. In Syaa Allah.


No comments:

Post a Comment