Petikan ayat-ayat terjemahan seterusnya yang akan dikongsi di FB page ialah Surah Maryam (surah ke-19). Tidak semua atau setiap ayat di dalam sesuatu surah itu dapat dikongsikan kerana sesetengah ayat-ayat adalah panjang (seperti kisah Maryam) dan sesetengah ayat perlukan penjelasan lanjut (yang memerlukan orang-orang yang arif untuk menafsir dan menjelaskannya). Namun, perkongsian akan dibuat secara teratur mengikut susunan surah dan ayat-ayat.
Surah Maryam (سورة مريم) adalah surah ke-19 dalam Al Qur'an. Surah ini terdiri atas 98 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kerana hampir seluruh ayatnya diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah, bahkan sebelum sahabat-sahabat beliau hijrah ke negeri Habsyah. Menurut riwayat Ibnu Mas'ud, Ja'far bin Abi Thalib membacakan permulaan surah Maryam ini kepada raja Najasyi dan pengikut-pengikutnya pada waktu dia turut serta hijrah bersama-sama sahabat-sahabat yang lain ke negeri Habsyah.
Surah ini dinamai Maryam, kerana surah ini mengandungi kisah Maryam (atau Maria dalam agama kristian), ibu Nabi Isa a.s.. Surah ini menceritakan kelahiran yang ajaib, dimana Maryam melahirkan Isa A.S. sedang belum mengahwini dengan mana-mana laki-laki. Kelahiran Isa A.S. tanpa ayah, merupakan suatu bukti kekuasaan Allah SWT. Pengutaraan kisah Maryam sebagai kejadian yang luar biasa dan ajaib dalam surah ini, diawali dengan kisah kejadian ajaib lainnya, iaitu dikabulkannya doa nabi Zakaria a.s. oleh Allah SWT, dimana ia ingin dianugerahi seorang putera sebagai pewaris dan pelanjut cita-cita dan kepercayaannya, sedang usianya sudah sangat tua dan isterinya adalah wanita yang mandul.
Sumber penjelasan surah - http://ms.wikipedia.org/wiki/Surah_Maryam
P/S - Adalah lebih baik kita amalkan membaca dan memahami Al-Quran itu sendiri setiap hari. Namun, sekurang-kurangnya melalui perkongsian ini (minima satu ayat sehari), kita tetap boleh mendapat petunjuk dan peringatan dari Allah S.W.T setiap hari..in shaa Allah.
No comments:
Post a Comment