Pages

Tuesday, 26 November 2013

Kenapa Perlu Tunggu Ada Guru Baru Nak Baca Al-Quran?

Persoalan "kenapa perlu tunggu berguru baru nak belajar atau baca Al-Quran?". Rata-rata bila saya bersembang atau bila saya mengajak seseorang itu baca Al-Quran dan terjemahannya, ramai yang kata elok berguru dahulu. Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak bersetuju dengan pandangan begini.

Kerana kalau nak tunggu ada guru, bila anda akan cari guru itu? Kalau ditakdirkan ajal kita sampai sebelum jumpa guru itu, langsunglah kita tidak baca Al-Quran dan memahaminya.

Ada juga yang jawab, saya takut kalau saya baca, bacaannya tidak betul. Sebab itu nak tunggu guru dahulu. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan terakhir sekali, saya tidak berani nak tafsir atau terjemah sendiri, takut salah. Al-Quran itu diturunkan untuk semua manusia. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-i'Imran Ayat 7, "Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat Muhkamaat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat Mutasyaabihaat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan kearah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata "Kami beriman kepadanya, semua itu datangnya dari sisi Tuhan kami". Dan tiadalah mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran". (Terjemahan dipetik dari iQuran Pro - Android)

Bagaimana kita hendak mendapat pedoman, petunjuk dan hidayah dari Allah S.W.T sekiranya kita tidak faham Al-Quran terutama ayat-ayat Muhkamaat iaitu ayat-ayat yang jelas dan nyata yang menjadi ibu atau pokok isi Al-Quran? 

Fahamkan sahaja, bukan suruh anda menafsirkan ayat-ayat tersebut. Yang samar-samar itu (Mutasyaabihaat), barulah kita buat rujukan pada guru atau ustaz-ustaz atau membaca rujukan lain seperti melalui kitab-kitab dan internet.

Yang kita tekankan disini ialah memahami ayat-ayat Al-Quran itu lebih penting berbanding membaca sahaja. Namun, kalau anda tunggu sampai bacaan anda betul sekalipun, adakah anda akan baca sekarang? Sudah tentu anda akan mengambil masa untuk mencari kelas-kelas atau guru untuk belajar mengaji. Masa itu akan terbuang sahaja.

Kita disarankan membaca Al-Quran, memahaminya dan beramal dengannya. Dengan ilmu-ilmu yang kita dapat dari Al-Quran itu, kita boleh berkongsi dengan yang lain. Tetapi yang lebih penting, anda sudah faham akan ayat-ayat Al-Quran itu. Ia adalah cahaya panduan atau petunjuk untuk kita. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Tidak perlulah anda risau untuk mula membaca Al-Quran dan memahaminya melalui terjemahan, walaupun tanpa berguru dahulu. Rasanya, setelah anda memahami Al-Quran itu, kemudian anda berguru pula untuk memahaminya dengan lebih lanjut, ini lebih baik. Sekurang-kurannya anda telah faham isi-isi Al-Quran. Apabila anda berguru kemudian, ia menambahkan pemahaman anda. Guru anda juga mudah untuk mengajar anda.

Disini saya sertakan bukti kukuh dimana, orang-orang bukan Islam memeluk Islam setelah memahami Al-Quran walaupun tiada sesiapa pun yang mengajar mereka. Mereka membaca dan memahami Al-Quran itu dengan membaca terjemahannya sekali tanpa berguru dahulu:

1. Cat Steven (Yusuf Islam) - “Saya tidak bertemu dengan mana-mana orang Islam sebelum saya memeluk agama Islam. Mula-mula sekali, saya membaca Al-Quran dan menyedari tiada seorang pun yang sempurna, Islam adalah sempurna, dan jika kita mengikut kelakuan (sunnah) Nabi ... kita akan berjaya”.



2.  Eamon Bradley - "Alhamdulillah. Saya juga banyak melihat cerita-cerita Menara Berkembar (New York Twin Towers) di YouTube dan saya yakin bahawa cerita-cerita atau gambaran itu bukanlah apa yang sebenarnya. Saya kemudian mula membaca al-Quran dari internet setiap malam dan saya tahu ia adalah benar. Alhamdulillah. Dengan hanya menonton video saudara-saudari se-Islam di YouTube saya akhirnya berkata syahadah dan mengesahkan kepercayaan saya." Kisah penuh beliau disini.



3. Loo Jo Yee - Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam. Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee. Kisah penuh beliau disini.


Kesimpulan - janganlah anda mahu menunggu guru sebelum anda membaca Al-Quran dan terjemahannya. Bacalah sekarang. Kemudian baru cari guru. Apabila anda faham Al-Quran, anda akan sedar betapa banyaknya faedah untuk anda. Amat rugi bagi mereka yang tidak memahami Al-Quran.

Allah S.W.T mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

Jom "Baca Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah

Nota: rujukan hadis dari artikel - 15 Kebaikan Membaca dan Mengamalkan Al-Quran.

Post-post lain yang berkaitan:
1. Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya
2. Kongsi pengalaman baca Al-Quran dan terjemahannya
3. Perbezaan Baca Tanpa Terjemahan dan Baca Dengan Terjemahan Al-Quran
4. Tip Untuk Memahami Al-Quran


2 comments: