Pages

Tuesday 26 November 2013

Kenapa Perlu Tunggu Ada Guru Baru Nak Baca Al-Quran?

Persoalan "kenapa perlu tunggu berguru baru nak belajar atau baca Al-Quran?". Rata-rata bila saya bersembang atau bila saya mengajak seseorang itu baca Al-Quran dan terjemahannya, ramai yang kata elok berguru dahulu. Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak bersetuju dengan pandangan begini.

Kerana kalau nak tunggu ada guru, bila anda akan cari guru itu? Kalau ditakdirkan ajal kita sampai sebelum jumpa guru itu, langsunglah kita tidak baca Al-Quran dan memahaminya.

Ada juga yang jawab, saya takut kalau saya baca, bacaannya tidak betul. Sebab itu nak tunggu guru dahulu. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan terakhir sekali, saya tidak berani nak tafsir atau terjemah sendiri, takut salah. Al-Quran itu diturunkan untuk semua manusia. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-i'Imran Ayat 7, "Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat Muhkamaat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat Mutasyaabihaat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan kearah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata "Kami beriman kepadanya, semua itu datangnya dari sisi Tuhan kami". Dan tiadalah mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran". (Terjemahan dipetik dari iQuran Pro - Android)

Bagaimana kita hendak mendapat pedoman, petunjuk dan hidayah dari Allah S.W.T sekiranya kita tidak faham Al-Quran terutama ayat-ayat Muhkamaat iaitu ayat-ayat yang jelas dan nyata yang menjadi ibu atau pokok isi Al-Quran? 

Fahamkan sahaja, bukan suruh anda menafsirkan ayat-ayat tersebut. Yang samar-samar itu (Mutasyaabihaat), barulah kita buat rujukan pada guru atau ustaz-ustaz atau membaca rujukan lain seperti melalui kitab-kitab dan internet.

Yang kita tekankan disini ialah memahami ayat-ayat Al-Quran itu lebih penting berbanding membaca sahaja. Namun, kalau anda tunggu sampai bacaan anda betul sekalipun, adakah anda akan baca sekarang? Sudah tentu anda akan mengambil masa untuk mencari kelas-kelas atau guru untuk belajar mengaji. Masa itu akan terbuang sahaja.

Kita disarankan membaca Al-Quran, memahaminya dan beramal dengannya. Dengan ilmu-ilmu yang kita dapat dari Al-Quran itu, kita boleh berkongsi dengan yang lain. Tetapi yang lebih penting, anda sudah faham akan ayat-ayat Al-Quran itu. Ia adalah cahaya panduan atau petunjuk untuk kita. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Tidak perlulah anda risau untuk mula membaca Al-Quran dan memahaminya melalui terjemahan, walaupun tanpa berguru dahulu. Rasanya, setelah anda memahami Al-Quran itu, kemudian anda berguru pula untuk memahaminya dengan lebih lanjut, ini lebih baik. Sekurang-kurannya anda telah faham isi-isi Al-Quran. Apabila anda berguru kemudian, ia menambahkan pemahaman anda. Guru anda juga mudah untuk mengajar anda.

Disini saya sertakan bukti kukuh dimana, orang-orang bukan Islam memeluk Islam setelah memahami Al-Quran walaupun tiada sesiapa pun yang mengajar mereka. Mereka membaca dan memahami Al-Quran itu dengan membaca terjemahannya sekali tanpa berguru dahulu:

1. Cat Steven (Yusuf Islam) - “Saya tidak bertemu dengan mana-mana orang Islam sebelum saya memeluk agama Islam. Mula-mula sekali, saya membaca Al-Quran dan menyedari tiada seorang pun yang sempurna, Islam adalah sempurna, dan jika kita mengikut kelakuan (sunnah) Nabi ... kita akan berjaya”.



2.  Eamon Bradley - "Alhamdulillah. Saya juga banyak melihat cerita-cerita Menara Berkembar (New York Twin Towers) di YouTube dan saya yakin bahawa cerita-cerita atau gambaran itu bukanlah apa yang sebenarnya. Saya kemudian mula membaca al-Quran dari internet setiap malam dan saya tahu ia adalah benar. Alhamdulillah. Dengan hanya menonton video saudara-saudari se-Islam di YouTube saya akhirnya berkata syahadah dan mengesahkan kepercayaan saya." Kisah penuh beliau disini.



3. Loo Jo Yee - Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam. Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee. Kisah penuh beliau disini.


Kesimpulan - janganlah anda mahu menunggu guru sebelum anda membaca Al-Quran dan terjemahannya. Bacalah sekarang. Kemudian baru cari guru. Apabila anda faham Al-Quran, anda akan sedar betapa banyaknya faedah untuk anda. Amat rugi bagi mereka yang tidak memahami Al-Quran.

Allah S.W.T mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

Jom "Baca Al-Quran dan Terjemahannya Sekali" walaupun 1 ayat sehari. Banyak manafaatnya. In Shaa Allah

Nota: rujukan hadis dari artikel - 15 Kebaikan Membaca dan Mengamalkan Al-Quran.

Post-post lain yang berkaitan:
1. Kelebihan membaca Al-Quran dan terjemahannya
2. Kongsi pengalaman baca Al-Quran dan terjemahannya
3. Perbezaan Baca Tanpa Terjemahan dan Baca Dengan Terjemahan Al-Quran
4. Tip Untuk Memahami Al-Quran


Monday 25 November 2013

Apakah Asbabun Nuzul?

Kitab-kitab Al-Quran yang dijual dalam pasaran sekarang, ada pelbagai bentuk atau variasi seperti berikut:

1. Al-Quran dalam bahasa Arab sahaja
2. Al-Quran beserta terjemahan dalam bahasa tempatan (Bahasa Melayu, Inggeris dsbnya).
3. Al-Quran beserta terjemahan dan Asbabun Nuzul
4. Al-Quran beserta terjemahan, Asbabun Nuzul dan tanda-tanda bacaan tajwid
5. Al-Quran berserta terjemahan dan nota-nota tafsir ayat

Apakah Asbabun Nuzul? Asbabun Nuzul ialah cerita atau sebab-sebab turunnya sesuatu ayat Al-Quran itu. Juga dirujuk sebagai kisah disebalik ayat-ayat tersebut. Lain-lain definisi Asbabun Nuzul ialah seperti berikut:

"Asbabun Nuzul secara bahasa berarti sebab turunnya ayat-ayat Al-Qur’an. Sebagaimana diketahui bahwa Al-Qur’an diturunkan Allah SWT selama masa 22 tahun 2 bulan dan 22 hari atau lebih kurang 23 tahun. Al-Qur’an diturunkan oleh Allah SWT pada dasarnya adalah untuk memperbaiki aqidah, ibadah, akhlak dan pergaulan manusia yang telah menyimpang dari rel kebenaran. Oleh karena itu secara bahasa sebenarnya penyebab turunnya Al-Qur’an adalah karena kerusakan dan penyimpangan aqidah, ibadah, akhlak dan tata pergaulan ummat manusia. Namun demikian bukanlah ini yang dimaksud dalam pembahasan makalah ini, sebab ini adalah sifatnya umum.Adapun pengertian Asbabun Nuzul secara Ishtilahi sebagaimana disebutkan oleh Shubhi Al-Shalih dalam bukunya Mabahits Fi ‘Ulumil Qur’an adalah sesuatu yang dengan sebabnya turun suatu ayat atau beberapa ayat yang mengandung sebab itu, atau memberi jawaban terhadap sebab itu, atau menerangkan hukumnya pada masa terjadinya sebab tersebut." (dipetik dari website http://riau.kemenag.go.id/index.php?a=artikel&id=10114 - Kementerian Agama Kantor Wilayah Riau)

"Asbābun Nuzūl (Arab: اسباب النزول, Sebab-sebab Turunnya (suatu ayat)) adalah ilmu Al-Qur'an yang membahas mengenai latar belakang atau sebab-sebab suatu atau beberapa ayat al-Qur'an diturunkan. Pada umumnya, Asbabun Nuzul memudahkan para Mufassir untuk menemukan tafsir dan pemahaman suatu ayat dari balik kisah diturunkannya ayat itu. Selain itu, ada juga yang memahami ilmu ini untuk menetapkan hukum dari hikmah dibalik kisah diturunkannya suatu ayat.[1] Ibnu Taimiyyah mengemukakan bahwa mengetahui Asbabun Nuzul suatu ayat dapat membantu Mufassir memahami makna ayat. Pengetahuan tentang Asbabun Nuzul suatu ayat dapat memberikan dasar yang kokoh untuk menyelami makna suatu ayat Al-Qur’an."[2]
(dipetik dari Wikipedia - http://id.wikipedia.org/wiki/Asbabun_Nuzul)

Ketika membeli Al-Quran, yang mana satu yang harus kita pilih? Bergantung kepada kehendak individu, sekiranya pandai berbahasa Arab, bolehlah membeli Al-Quran dalam bahasa Arab sahaja kerana mereka faham akan ayat-ayat yang dibaca. Sekiranya kita tidak pandai berbahasa Arab, belilah yang ada terjemahannya sekali. Ini kerana membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran adalah lebih baik berbanding membaca sahaja. Apabila faham, kita boleh beramal dengan ajaran-ajaran dan petunjuk-petunjuk yang ada didalam Al-Quran itu.

Contoh Asbabun Nuzul dari Quran Per Kata (edaran Telaga Biru)


Contoh Asbabun Nuzul Quran Per Kata (edaran Telaga Biru)

Bacalah Al-Quran dengan terjemahannya sekali. In shaa Allah, kita akan mendapat banyak faedah. Lebih banyak faedahnya sekiranya dibaca setiap hari walaupun 5 ayat sehari. In shaa Allah.


Saturday 16 November 2013

Tip Untuk Memahami Al-Quran

Antara langkah mudah untuk mula memahami Al-Quran ialah membaca terjemahannya sahaja, buat seperti mana kita membaca buku. Apabila habis membaca terjemahannya dari mula hingga akhir (dari Surah 1 hingga ke Surah 114), barulah kita ulang semula secara mengaji, iaitu baca Al-Quran itu berserta terjemahannya ayat per ayat.

Inilah yang saya lakukan ketika mula-mula saya ingin mengetahui apakah kandungan atau isi Al-Quran itu. Selama hari ini, saya hanya tahu mengaji dan menghafal surah-surah Al-Quran tetapi tidak pernah faham maksudnya. Selepas membaca terjemahannya, barulah saya sedar betapa banyaknya ilmu-ilmu, petunjuk-petunjuk dan fadhilat Al-Quran itu. Subhanallah. Syukur, Alhamdulillah dengan hidayah dan petunjuk dari Allah ini.

Tip ini juga disarankan oleh Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek iaitu membaca terjemahan Al-Quran seperti membaca novel untuk mula memahami Al-Quran. Beliau membuat saranan ini ketika program Halaqah TV9 di Masjid Al-Fallah, USJ, Subang Jaya pada 15hb November 2013 yang bertajuk "Pengantin Al-Quran". Dibawah ini antara petikan-petikan ucapan beliau semasa program tersebut:

Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek
"Al-Quran bila disebut tuan-tuan, ramai, saya yakin kalau kita tengok dinegeri Johor dan banyak-banyak negeri, sebelum berkahwin, sebelum akad nikah, dia ada majlis khatam Al-Quran. Syabas dan tahniah. Tapi tuan-tuan, khatam Al-Quran ini ialah mudah, saya yakin, tengok muka pun bercahaya-cahaya, penuh cahaya Quran ini (menunjuk pada hadirin majlis). Tapi isu dia tuan puan kalau kita nak jadi pengantin Al-Quran, kita juga kena faham makna yang ada terdapat dalam Al-Quran. Kalau baca je tak faham, tuan tuan rugi, rugi serugi-ruginya. Yang paling rugi, tak baca, tak paham dan tak kahwin. Itu sangat rugi tuan tuan.

Tuan tuan dan puan puan, muslimin dan muslimat, pengantin Al-Quran, dia tidak boleh berpisah dengan Al-Quran. Kerana dalam Al-Quran ada pesanan, ada pesanan kepada seorang suami, ada pesanan kepada seorang isteri, ada pesanan kepada seorang ayah, dan banyak penghargaan kepada seorang isteri dan seorang ibu.

Tuan tuan dan puan puan, muslimin dan muslimat yang diredhai Allah. Bacalah juga terjemahan Al-Quran. Pimpinlah isterimu dalam solat-solat sunat. Kejut suamimu untuk tahajud diwaktu malam hari. Berpuasalah............
......Kita kena paham terjemahan Al-Quran. Saya bagi satu tip macam mana, pengantin yang baru-baru kahwin dan yang lama dah kawin ni, nak dapat makna Al-Quran ini, bentuk novel iaitu membaca dari Surah Al-Furqan, turun ke Surah Ash-Shuara, sampai An Nas, naik balik Al-Fatihah, lalu Al-Baqarah, Al-Imran, sampai Al-Furqan balik. Kalau kita baca tu tuan tuan, Subhanallah, kita rasa semua persoalan, semua permasaalahan, semua kasih sayang Allah tercurah dalam bentuk novel.

Al-Quran bukan novel tuan puan, Al-Quran bukan novel tetapi dia wahyu daripada Allah. Tapi tuan tuan, kalau kita tak mengaji Al-Quran, kita tak baca Al-Quran, meminggirkan Al-Quran, cuma letak dalam laci, letak dalam locker, letak dalam almari sebagai perhiasan, ketika itu, Al-Quran akan melaknat kita. Dan tidak adalah lagi pengantin Al-Quran yang kita bincangkan malam ini kalau Al-Quran itu dipandang sepi. Wallahuallam."

Petikan dari Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek. Anda boleh tonton program Halaqah ini disini - Halaqah TV9 15hb November - Pengantin Al-Quran:


Wednesday 13 November 2013

Kisah Seorang Jururawat Dan Pesakit Alzheimer Beragama Islam


Ini adalah kisah seorang jururawat dan pesakit Muslim, walaupun ia kisah agak lama (nota: saya pernah terbaca kisah yang sama, dianggarkan sekitar hujung tahun 80-an & 90-an) tetapi disarankan anda MEMBACANYA! (terutama bagi sesiapa yang meragui kuasa dakwah secara senyap (nota: dalam erti kata lain dakwah secara tidak terang-terangan).

Nama saya Cassie, saya berumur 23 tahun. Saya lulus sebagai seorang jururawat yang berkelayakan tahun ini dan telah mendapat kedudukan pertama sebagai seorang jururawat rumah.

Pesakit saya adalah seorang lelaki Inggeris di awal 80-an itu yang mengalami Alzheimer (nota: penyakit Alzheimer ialah satu penyakit yang mengakibatkan pesakit lupa pada semua perkara atau hilang ingatan). Dalam pertemuan pertama, saya dapat melihat rekod beliau bahawa dia adalah seorang yang telah memeluk agama Islam, maka dia adalah seorang Muslim.

Berdasarkan pengetahuan ini, saya perlu mengambil kira (berhati-hati) dengan beberapa kaedah rawatan yang mungkin berlawanan dengan amalan beliau (sebagai seorang Muslim), oleh itu saya cuba untuk menyesuaikan diri saya untuk memenuhi keperluan itu. Saya memasak dan membawa daging 'halal' untuk dia dan memastikan bahawa tidak ada daging khinzir atau alkohol di premis tersebut kerana saya telah membuat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa ini adalah dilarang di dalam Islam.

Penyakit pesakit saya ini adalah di peringkat yang kritikal (tinggi) dan ramai rakan-rakan saya tidak dapat memahami mengapa saya sanggup berusaha dan bersusah payah untuk beliau. Tetapi saya memahami bahawa orang yang percaya dan berpegang teguh pada agamanya layak untuk dihormati, walaupun mereka tidak mengetahui kedudukan dan keadaan semasa mereka (kerana lupa atau hilang ingatan).

Bagaimanapun selepas beberapa minggu dengan pesakit saya, saya mula melihat beberapa corak pergerakan (atau perbuatan). Pada mulanya saya fikir ia adalah pergerakan atau perbuatan yang ditiru dari seseorang yang beliau pernah lihat, saya nampak dia mengulangi pergerakan atau perbuatan tersebut pada masa tertentu; pagi, petang dan malam.

Pergerakan tersebut ialah mengangkat tangan, tunduk dan kemudian meletakkan kepalanya ke tanah (lantai). Saya tidak dapat memahaminya. Beliau juga membaca berulang-ulang ayat-ayat didalam bahasa lain dimana saya tidak dapat tangkap apakah bahasa tersebut kerana ucapan beliau tidak jelas tetapi saya tahu ayat-ayat yang sama diulang setiap hari.

Juga terdapat sesuatu yang pelik, dia tidak membenarkan saya untuk memberi makan kepadanya dengan tangan kiri saya (saya kidal ). Saya tahu ini ada kaitan dengan agama beliau tetapi tidak tahu bagaimana.

Salah seorang daripada rakan-rakan saya memberitahu saya tentang “paltalk” iaitu sebuah tempat perbahasan dan perbincangan kerana saya tidak tahu apa-apa tentang umat Islam kecuali pesakit saya. Jadi saya fikir adalah baik untuk bercakap dengan seseorang dan bertanya soalan secara langsung. Saya pergi pada bahagian Islam dan memasuki forum 'Mesej Sebenar' (True Message) .

Di sini saya bertanya soalan-soalan mengenai pergerakan yang berulang-ulang dan saya diberitahu bahawa ini adalah pergerakan solat / sembahyang. Saya tidak mempercayainya sehingga salah seorang dari mereka memberi link tentang solat/sembahyang secara Islam di youtube.

Saya terkejut. Seorang lelaki yang telah kehilangan semua memori tentang anak-anak, pekerjaan dan hampir tidak boleh makan dan minum, masih boleh mengingati bukan sahaja pergerakan-pergerakan solat / sembahyang tetapi juga mengingati dan membaca ayat-ayat di dalam bahasa lain (bahasa Arab).

Ini sangatlah luar biasa dan saya tahu bahawa lelaki ini adalah seorang yang taat dengan agama beliau, menyebabkan saya ingin belajar lebih lanjut agar dapat menjaga beliau dengan lebih baik semampu yang boleh.

Saya menziarah forum di “paltalk” sekerap yang saya boleh dan telah diberi link untuk membaca terjemahan al-Quran dan mendengar bacaannya. Membaca dan mendengar Surah 'Lebah ' membuatkan saya menggigil dan saya ulanginya beberapa kali sehari.

Saya buat rakaman al-Quran itu pada iPod saya dan memberikannya kepada pesakit saya, apabila dia mendengarnya (bacaan Al-Quran itu), dia tersenyum dan menangis. Apabila membaca terjemahannya, saya tahu mengapa.

Saya mengapplikasikan pengetahuan yang saya perolehi daripada “paltalk” untuk menjaga pesakit saya tetapi secara beransur-ansur, saya dapati saya akan datang ke bilik perbincangan tersebut lebih untuk mencari jawapan bagi diri saya sendiri.

Saya tidak pernah benar-benar mengambil masa untuk melihat kehidupan saya, saya tidak tahu bapa saya, ibu saya meninggal dunia ketika saya berumur 3 tahun , saya dan abang saya telah dijaga oleh datuk & nenek kami yang meninggal dunia 4 tahun yang lalu, jadi sekarang yang tinggal hanya kami berdua sahaja.

Tetapi di sebalik semua kehilangan ini , saya sentiasa berfikir saya gembira, secukupnya. Hanya selepas menghabiskan masa dengan pesakit saya, saya merasakan seperti saya telah kehilangan sesuatu. Saya kehilangan kedamaian dan ketenangan yang pesakit saya ada, walaupun beliau menanggung penderitaan akibat penyakit beliau.

Saya inginkan rasa seperti dimiliki (atau memiliki) seperti yang dia rasa, walaupun dengan tiada sesiapa disekelilingnya. Saya telah diberikan satu senarai masjid-masjid di kawasan saya oleh seorang wanita di “paltalk” dan saya pergi melawat salah satunya. Saya perhatikan orang bersolat dan saya tidak dapat menahan air mata saya.

Saya berasa tertarik dengan masjid setiap hari dan Imam dan isterinya akan memberikan saya buku-buku dan pita-pita rakaman dan mengalu-alukan sebarang soalan dari saya. Setiap soalan yang saya tanya di masjid dan di “paltalk” telah dijawab dengan jelas dan mendalam. Saya tidak dapat berbuat apa-apa tetapi menerimanya.

Saya tidak pernah mengamalkan agama tetapi sentiasa percaya bahawa terdapat satu Tuhan sahaja, cuma saya tidak tahu bagaimana untuk menyembah Dia.

Satu petang saya datang ke “paltalk” dan salah seorang penceramah memanggil saya. Dia bertanya kepada saya jika saya mempunyai apa-apa soalan, saya berkata tidak. Dia bertanya jika saya berpuas hati dengan jawapan yang telah diberikan, saya berkata ya. Dia bertanya lagi, oleh yang demikian apakah yang masih menghalang saya memeluk Islam, saya tidak dapat menjawab. Saya pergi ke masjid untuk melihat orang bersolat subuh. Imam bertanya kepada saya soalan yang sama, dan saya masih tidak dapat menjawab.

Saya kemudian pergi menjaga pesakit saya, ketika saya memberi beliau makan, saya melihat matanya. Ketika itu saya sedar, dia telah dihantar kepada saya atas sebab-sebab tertentu dan satu-satunya perkara yang menghalang saya daripada menerima (Islam) ialah ketakutan .... tidak takut dalam erti kata sesuatu yang buruk, tetapi takut menerima sesuatu yang baik, dan berfikir bahawa saya tidak layak seperti pesakit yang baik ini.

Petang itu saya pergi ke masjid dan bertanya kepada Imam jika saya boleh mengatakan pengisytiharan iman saya, iaitu mengucap kalimah Syahadah: La ilaha illa al- Lah, Muhammadun rasūlu Al- Lah. Tidak ada tuhan melainkan Allah, Muhammad adalah utusan Allah.

Dia menolong saya melaluinya dan membimbing saya tentang apa yang saya perlu lakukan seterusnya. Saya tidak dapat menjelaskan perasaan yang saya rasa setelah mengucap (kalimah syahadah) tersebut . Ia rasa seperti seseorang datang mengejutkan saya dari tidur dan (apabila terjaga) saya dapat melihat segala-galanya dengan lebih jelas. Perasaan gembira itu sangat besar, terasa lebih jelas dan yang paling penting ....rasa keamanan (kedamaian).

Orang pertama yang saya beritahu bukan abang saya tetapi pesakit saya. Saya pergi kepadanya, dan sebelum saya membuka mulut saya, dia menangis dan tersenyum pada saya. Saya menangis di hadapan beliau, saya amat terhutang budi kepada beliau.

Saya pulang ke rumah, log masuk ke “paltalk” dan mengulangi syahadah disitu. Mereka banyak membantu saya dan walaupun saya tidak pernah melihat (atau berjumpa) seorang pun daripada mereka, saya rasa mereka lebih dekat dengan saya daripada abang saya sendiri. Akhirnya, saya memanggil abang saya, memberitahu dia dan walaupun dia tidak berpuas hati , beliau menyokong saya dan berkata beliau akan sentiasa berada di sisi saya, tiada apa yang perlu saya minta lagi.

Selepas minggu pertama saya sebagai seorang Muslim, pesakit saya meninggal dunia di dalam tidur ketika saya menjaga dia. Inna lillahi wa inna ilayhi rajioon. Beliau meninggal dunia secara aman dan hanya saya seorang berada disamping beliau. Saya sudah anggap beliau seperti bapa saya sendiri yang saya tidak pernah ada, dan dialah pintu saya kepada Islam.

Dari hari syahadah saya hingga ke hari ini dan setiap hari selagi saya hidup, saya akan berdoa agar Allah memberi rahmat kepadanya dan memberi dia kebaikan yang saya laksanakan untuknya berpuluh kali ganda. Saya suka dia kerana Allah dan saya berdoa setiap malam untuk menjadi seorang yang beriman dan beramal soleh seperti beliau.

Islam adalah agama yang mana pintunya sentiasa terbuka, pintu tersebut sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin masuk kedalamnya ....Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

Nota: Sister Cassie meninggal dunia pada Oktober 2010. Inna lillahi wa inna ilayhi rajioon, selepas beliau memberi dakwah kepada abangnya, yang juga telah memeluk Islam Alhamdulillah.

Dipetik dari fan page Convert To Islam. Post asal adalah didalam bahasa Inggeris:

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=577347918980839&set=a.215923145123320.50183.137173459664956&type=1&theater